Polis mengesahkan seorang pelajar tingkatan tiga dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku di antara mereka semasa berada di sekolah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu semalam.
Siasatan awal mendapati, jam 9.30 pagi, Isnin, 8 Mei 2023, mangsa yang merupakan pelajar SMK taman Melawati mendakwa dia telah ditumbuk di bahagian dada, dicekik dan ditendang oleh seorang pelajar lelaki tingkatan lima di tangga sekolah.
Mangsa turut diugut akan disiku di bahagian muka jika tidak menuruti arahan suspek yang mengajaknya berjumpa di Anjung Selera.
Pada jam 3 petang, mangsa telah diajak oleh lima suspek untuk datang ke Bukit Mar Mar, Kemensah, yang menyebabkan dia dibelasah beramai-ramai.
“Punca kejadian dipercayai disebabkan selisih faham tidak hormat antara mangsa dan sekumpulan pelajar senior tingkatan lima.
“Salah seorang suspek menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali sambil disaksikan sekitar 15 pelajar lain.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, kepala, luka di kening kiri, rahang belakang tengkuk dan mengalami kesakitan serta lebam,” katanya.
Ekoran kejadian itu, polis telah memanggil semua suspek terlibat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sumber: Bernama








