Orang awam seringkali mengunjungi pantai di hujung minggu atau musim cuti untuk beriadah dan bersantai. Pantai menjadi destinasi pilihan kerana keindahan alam semula jadi, udara segar dan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti berenang, bermain bola tampar atau sekadar berjemur di bawah sinaran matahari.
Sebagai tempat awam yang dikongsi bersama, pantai menawarkan ruang untuk semua orang menikmati masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menghargai keindahan alam sekitar.
Bagaimanapun, berlainan pula di Pantai Port Dickson yang dipenuhi dengan khemah berwarna biru, sekali gus mencacatkan pemandangan di kawasan pantai tersebut yang seakan-akan kelihatan seperti pasar malam.
Seorang pengguna X, Daril Amin Sabre, berkongsi insiden yang menimpa mereka sekeluarga ketika cuba bersantai di depan khemah biru tersebut.
“Saya dengan keluarga letak tikar di depan khemah biru. Ada seorang lelaki yang menjaga khemah datang dan memaklumkan kami tidak boleh meletakkan tikar di sini.
“Saya buat tak tahu. Dia pula memerli dan saya tetap buat tak tahu. Dia tak boleh buat apa pun,” katanya yang turut menyertakan gambar di lokasi kejadian.
Hantarannya itu mengundang perhatian ramai yang turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemasangan khemah biru tersebut.
“Menyampah dengan orang yang perasan pantai itu dia punya. Elok pun encik buat dek je,” kata Orkid Hutan.
Manakala seorang pengguna X, Chilaxx, mengajak orang ramai memboikot perkhidmatan sewa khemah tersebut dengan membawa tikar masing-masing.
“Bawa tikar masing-masing letak depan khemah. Kalau seorang je buat, mungkin dia berani nak tegur. Tapi kalau dah ramai yang buat, sila-silap dia tutup khemah dan balik,” katanya.
Ramai yang mempersoalkan apakah perbuatan seperti ini dibenarkan, sedangkan umum mengetahui bahawa pantai adalah kawasan awam dan tidak boleh dijadikan sebagai tempat untuk menjalankan sebarang perniagaan.
Bagaimanapun, berdasarkan rekod hantaran akaun X Majlis Perbandaran Port Dickson, operasi penguatkuasaan selalu dilakukan di Pantai Teluk Kemang. Mana-mana kanopi yang di pasang tanpa kehadiran penyewa telah dirampas.
Malangnya, orang ramai masih tidak berpuas hati dan menggesa pihak berkuasa tempatan terus mengharamkan pemasangan khemah atau perkhidmatan sewaan khemah diharamkan di kawasan tersebut kerana ia bukan sahaja mencacatkan pemandangan pantai, malah menghalang kebebasan orang awam untuk beriadah.