Tak berpuas hati dengan agihan keuntungan, punca suspek langgar & tikam rakan kongsi 15 kali sehingga maut - The Reporter

Tak berpuas hati dengan agihan keuntungan, punca suspek langgar & tikam rakan kongsi 15 kali sehingga maut

Gara-gara tidak berpuas hati dengan agihan keuntungan perniagaan pakaian dan tudung, seorang wanita bertindak menikam rakan kongsinya sehingga maut.

Mayat peniaga wanita berusia 65 tahun itu ditemui di dalam longkang di tepi jalan besar Kuala Berang berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu dengan 15 tikaman.

Sebelum kejadian, mangsa dan suspek dikatakan menaiki kereta jenis Honda Jazz dan berlaku pertengkaran antara mereka sehingga menyebabkan mangsa keluar dari kereta lalu dilanggar oleh suspek yang juga merupakan seorang tukang jahit.

Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan, suspek kemudiannya keluar dari kenderaan berkenaan dan bertindak menikam mangsa sebelum meninggalkan lokasi dengan menumpang sebuah van.

“Suspek berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 11 pagi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang dibuang suspek berhampiran rumahnya.

“Honda Jazz yang ditinggalkan di lokasi kejadian adalah milik suami suspek dan selepas kejadian itu, suspek dikatakan menahan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan untuk pulang ke rumahnya.

“Mayat dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!