Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Komunikasi dengan tegas menyangkal dakwaan kononnya kerajaan mengawal platform media sosial TikTok dengan menurunkan kandungan berunsur kritikan dan kecaman.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penyedia platform TikTok mempunyai hak dan sentiasa memantau kandungan yang bertentangan dengan terma, syarat dan kod standard komuniti yang ditetapkan.
Laporan permintaan pengagihan keluar kandungan yang dikemukakan oleh kerajaan (yang diterbitkan pada 6 Jun lalu) menunjukkan terdapat 1,862 permohonan. Namun, jumlah keseluruhan permintaan penurunan kandungan yang diterima oleh TikTok adalah 6,231.
Ini menunjukkan bahawa, bukan hanya kerajaan atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang membuat permohonan, tetapi golongan pengguna juga berhak berbuat demikian.
Dalam laporan yang sama, sebanyak 2,514 kandungan telah diturunkan kerana melanggar panduan komuniti. Selain itu, 2,970 kandungan telah diambil tindakan atau diturunkan kerana melanggar peraturan, manakala 747 kandungan tidak dikenakan sebarang tindakan.
Ini bermaksud, TikTok hanya akan menurunkan kandungan jika ia melanggar standard komuniti atau undang-undang tempatan, tanpa mengira sama ada permohonan datang dari kerajaan atau pengguna.
Oleh itu, Teo merasakan adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan berkaitan permohonan penurunan kandungan. Pelbagai permintaan penurunan kandungan juga telah diambil kira, termasuk yang berkaitan dengan kegiatan judi dalam talian, kes penipuan dan isu-isu lain.
Sumber: Harian Metro (Latifah Arifin)








