Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketika Ramadan, kebanyakan ibu bapa berusaha untuk pulang awal bagi membuat persiapan berbuka bersama keluarga. Namun, tidak semua bernasib baik kerana ada yang terikat dengan waktu kerja, menyebabkan mereka sukar mengambil anak tepat pada masanya.
Seorang pengguna media sosial baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila berkongsi notis tadika yang mengenakan caj RM1 bagi setiap minit kelewatan mengambil anak.
Tindakan ini mencetuskan perdebatan hangat di kalangan netizen. Ada yang berpendapat ia langkah wajar untuk mendisiplinkan ibu bapa agar lebih menghargai masa guru dan pengasuh, sementara yang lain merasakan caj tersebut terlalu tinggi dan membebankan.

Langkah wajar demi disiplin, menghargai masa
Bagi yang menyokong, caj ini dianggap satu bentuk peringatan kepada ibu bapa agar lebih peka dengan masa. Ada yang berkongsi pengalaman melihat ibu bapa yang sengaja mengambil anak lewat kerana mengutamakan urusan lain terlebih dahulu.
Selain itu, ada juga yang berpandangan tenaga pengajar di tadika bukan sekadar penjaga anak-anak, tetapi individu yang turut mempunyai keluarga sendiri. Mereka sepatutnya berhak pulang tepat waktu untuk berehat dan menjalankan tanggungjawab di rumah.
Caj ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan mereka tidak terpaksa menunggu terlalu lama hanya kerana sikap segelintir ibu bapa yang kurang prihatin.
Caj membebankan, bukan semua majikan beri kebenaran balik awal
Namun, bagi yang tidak bersetuju, mereka menganggap kadar caj RM1 seminit terlalu tinggi. Bayangkan jika seseorang terlewat selama 30 minit, caj yang dikenakan sudah mencecah RM30. Jika kekerapan kelewatan berlaku setiap hari, beban kewangan ini pastinya menjadi satu isu besar.
Selain itu, tidak semua majikan memahami keperluan pekerja untuk pulang awal sepanjang Ramadan. Ada tempat kerja yang mengekalkan waktu operasi biasa tanpa sebarang kelonggaran. Dalam situasi sebegini, ibu bapa mungkin tiada pilihan lain selain mengambil anak lewat.
Perdebatan ini membuka mata ramai tentang keperluan menyeimbangkan antara tanggungjawab ibu bapa, hak tenaga kerja di tadika, serta kekangan yang dihadapi pekerja. Adakah caj ini satu langkah wajar atau beban tambahan kepada ibu bapa?








