Budaya prank sering kali dianggap sebagai hiburan ringan, namun sudah kerap diberi peringatan bahawa ia bukanlah budaya yang patut diikuti kerana boleh mendatangkan kesan negatif. Malangnya, masih ada yang melakukannya tanpa memikirkan akibat dan kesan yang mungkin timbul.
Baru-baru ini, tular sebuah video menunjukkan beberapa fasilitator bergaduh semasa mengendalikan sesi orientasi pelajar baharu di sebuah universiti awam (UA) di Segamat.
Menurut sumber, fasilitator terbabit terpaksa mengorbankan hari cuti untuk mengendalikan orientasi tersebut, menyebabkan perselisihan faham di antara mereka.
‘Kejadian’ itu berlaku di hadapan pelajar baharu yang terpinga-pinga melihat kelakuan para fasilitator. Apabila ada yang cuba bersuara atau membuat rakaman video melalui telefon bimbit, mereka terus ditengking.
Tidak lama kemudian, kedengaran sekumpulan individu menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ dan kekecohan yang berlaku tadi hanyalah sekadar prank untuk menyambut ulang tahun kelahiran rakan fasilitator. Para pelajar baharu dilihat ‘terpaksa’ bertepuk tangan walaupun perkara itu tiada kaitan dengan mereka.
Perbuatan sekumpulan fasilitator itu mengundang kritikan netizen di media sosial.