Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul lebih RM2 juta sejak Disember lalu hasil kerjasama dengan pelbagai jenama, sekali gus disalurkan sepenuhnya untuk manfaat penduduk di kawasannya. Beliau menjangkakan jumlah itu boleh mencecah antara RM2.5 juta hingga RM3 juta menjelang hujung tahun.
Menurutnya, setiap tawaran sama ada sebagai duta produk atau penampilan khas tidak memberi keuntungan peribadi, sebaliknya 100 peratus bayaran disalurkan terus ke akaun rasmi Pusat Khidmat Parlimen Muar.
“Insya-Allah akan ada empat jenama lagi yang bakal berkolaborasi selepas ini dan saya jangkakan pada akhir tahun ini ia akan mencecah RM2.5 juta sehingga RM3 juta,” katanya memetik laporan mStar.
Baca juga:
- BERSATU pandang serius kenyataan Presiden PAS
- ‘PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU’ – Hadi Awang
- ‘Rafizi, Nik Nazmi tergugur keahlian PKR’ – Fuziah Salleh
Penampilan khas untuk kebajikan

Mendedahkan salah satu sumbangan terbaharu, Syed Saddiq berkata bayaran sebanyak RM15,000 yang diterima ketika membuat penampilan khas di majlis pengumuman sijil halal restoran Thong Bowl turut digunakan untuk membantu mangsa ribut di Muar.
Katanya, langkah itu adalah cara terbaik memastikan setiap peluang yang diterima memberi manfaat terus kepada rakyat, terutama ketika ramai memerlukan bantuan segera.
Selesa bekerjasama dengan artis tempatan
Selain itu, beliau turut berasa senang bekerjasama dengan penyanyi dan pelakon Bella Astillah dalam beberapa acara yang melibatkan penajaan.
“Saya sangat selesa bekerja dengan Bella kerana kami sudah kenal bukan setahun atau dua tahun. Saya sudah anggap dia sebagai seorang wanita besi yang sangat bekerja keras,” jelasnya.
Sumber: mStar








