Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang penduduk tempatan, M Diviya, berkongsi pengalaman cemas ketika kejadian di mana dia merasakan bangunan tempatnya bekerja bergegar, diikuti bunyi dentuman kuat dari bahagian atas bangunan.
Kejadian itu menyebabkan dia dan rakan sekerja segera meninggalkan pejabat kerana bimbang keselamatan mereka.
Menurut pengguna media sosial, gegaran ini turut dirasai di kawasan lain seperti Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru, dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora.
Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, bunyi dentuman ini mungkin berpunca daripada ledakan sonik, iaitu gelombang kejutan yang terjadi apabila objek bergerak lebih laju daripada bunyi.
“Dentuman sonik ini menghasilkan tenaga bunyi yang sangat tinggi kerana kelajuan supersonik. Walaupun bunyi dentuman ini kuat, ia tidak menandakan adanya letupan atau kerosakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, menafikan sebarang kaitan antara gegaran tersebut dengan aktiviti letupan kuari atau latihan polis.
Semakan dengan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mengesahkan tiada sebarang aktiviti letupan yang dijalankan pada masa itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut memaklumkan Ipoh tidak terkesan oleh sebarang aktiviti seismik walaupun berlaku gempa bumi di Halmahera, Indonesia pada jam 11.24 pagi.
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut, dan orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mencetuskan panik.
Sumber: Polis Perak








