Suspek utama cemburu mangsa berkawan dengan teman wanitanya, lalu ajak rakan-rakan lain membelasah mangsa | The Reporter

Suspek utama cemburu mangsa berkawan dengan teman wanitanya, lalu ajak rakan-rakan lain membelasah mangsa

Gambar suspek utama

Polis hari ini mengesahkan motif sekumpulan suspek membelasah remaja lelaki berusia 15 tahun dalam video yang tular di media sosial sejak semalam adalah kerana cemburu mangsa berkawan dengan teman wanita kepada salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku pada 9 Ogos lalu dan suspek utama mengaku tidak berpuas hati dengan mangsa.

Terdahulu polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.09 petang Isnin yang dibuat oleh mangsa yang mendakwa dia telah dibelasah dengan teruk oleh suspek dan rakan-rakannya.

Suspek yang terbabit dalam kejadian di Taman Bestari pada jam 3 petang, 9 Ogos itu membabitkan enam remaja lelaki tempatan dan seorang remaja lelaki warga asing yang berusia 14 hingga 17 tahun.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami lebam di lengan kiri dan kanan, bengkak di paha kanan dan mengalami kesakitan di seluruh badan.

Bertindak di atas makluamt itu, polis telah menahan enam suspek di enam lokasi berasingan. Polis turut merampas pakaian suspek dan sebuah telefon bimbit.

Kesemua suspek akan diheret ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts