Seorang wanita Orang Asli, Juliana, mendakwa suaminya ditahan polis ketika mempertahankan tanah adat keluarga mereka, menyebabkan beliau berhasrat untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyampaikan rayuan berhubung isu berkenaan.
Dalam luahan yang dikongsikan, Juliana berkata dia tidak tahu lagi tempat untuk mengadu dan nekad untuk hadir ke kediaman Perdana Menteri di Bandar Long, Kajang.
“Saya tak tahu mana lagi nak mengadu. Saya mahu jumpa Datuk Seri Anwar terus ke rumah dekat sini, Bandar Long, Kajang,” katanya.
Juliana mendakwa kira-kira 2,000 Orang Asli sebelum ini berhimpun di Putrajaya pada bulan lalu bagi menyuarakan isu tanah adat mereka, namun mendakwa masih belum menerima sebarang maklum balas.
Menurutnya, keadaan di kawasan berkenaan masih berterusan apabila rumah penduduk didakwa terus dipecahkan, manakala beberapa ahli keluarganya termasuk suami ditahan selepas mempertahankan tanah mereka.
“Sekarang rumah masih dipecahkan. Semalam pun ada. Suami saya ditangkap kerana pertahan tanah adat kami. Gangster usir kami dan tanah kami dikosongkan,” dakwanya.
Juliana turut meluahkan kebimbangan terhadap nasib keluarganya yang mempunyai anak kecil serta berdepan kesukaran kewangan.
“Kami susah, kami tak ada duit. Kami ada anak kecil. Mahu ke mana?” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Juliana mendakwa suaminya dibawa ke Mahkamah Majistret Maran untuk proses reman selepas ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Baca juga:
- ‘Suami saya bukan penjenayah!’- Wanita Orang Asli dakwa suami ditahan
- Muhyiddin kesal Annuar Musa tuduh Bersatu halang penyatuan Melayu
- Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari
Dia sebelum ini berkata tidak memahami peruntukan undang-undang berkenaan dan mempersoalkan tindakan terhadap suaminya yang menurutnya hanya mahu mempertahankan tanah milik keluarga.
“Mereka buat suami saya macam penjenayah. Suami saya bukan penjenayah. Dia cuma nak pertahankan tanah dia,” katanya.
Juliana turut mendakwa beberapa ahli keluarganya termasuk adik iparnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) serta bapa mentuanya turut ditangkap.
Dalam satu lagi luahan yang dikongsikan, Juliana berkata dia bersama anaknya, Yasmina, serta ahli keluarga akan hadir ke kediaman Perdana Menteri pada jam 3 petang hari ini bagi menyampaikan suara masyarakat Orang Asli.
“Saya dan anak, keluarga akan datang ke rumah Datuk Seri Anwar pukul 3 petang hari ini. Saya tunggu,” katanya.
Dia kemudian memaklumkan sudah hampir tiba di lokasi sambil menyatakan semangat untuk memperjuangkan isu tanah adat masyarakat Orang Asli.
“Hujan rahmat di sini. Saya semangat mahu sampaikan suara Orang Asli dan pertahankan tanah adat kita,” katanya.
Juliana mendakwa perjuangan itu turut melibatkan anaknya Yasmina, sambil menyifatkan tindakan terhadap keluarganya sebagai cubaan menakutkan mereka.
“Ini perjuangan tanah adat dan hak Orang Asli. Kita mara bersama,” katanya.










