MCA Perak mohon maaf isu Jalur Gemilang dan bendera negeri dipasang terbalik | The Reporter

MCA Perak mohon maaf isu Jalur Gemilang dan bendera negeri dipasang terbalik

Jalur Gemilang dan bendera Perak dipasang terbalik di Ibu Pejabat MCA Perak diperbetulkan.
Jalur Gemilang dan bendera Perak dipasang terbalik di Ibu Pejabat MCA Perak diperbetulkan semula. Gambar: Kosmo

Tular di media sosial dakwaan Jalur Gemilang dan bendera Perak dipasang secara terbalik di Ibu Pejabat MCA Perak.

Susulan itu, MCA Perak memohon ampun kepada Sultan Perak serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung insiden berkenaan.

Memetik laporan Kosmo, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius kejadian tersebut.

Menurutnya, kesilapan berkenaan berlaku secara tidak disengajakan ketika seorang kakitangan ibu pejabat yang telah berusia ditugaskan memasang Jalur Gemilang dan bendera Perak sempena Bulan Kemerdekaan.

“Tiada niat sedikit pun untuk menghina Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata, sebaik menyedari kesilapan tersebut, kedua-dua bendera berkenaan segera diturunkan sebelum dipasang dan dikibarkan semula mengikut kedudukan yang betul.

Baca juga:

Dalam pada itu, MCA Perak mengesahkan pegawai polis dari Balai Polis Ipoh hadir ke ibu pejabat parti kira-kira jam 1 petang tadi bagi menjalankan siasatan serta merakam percakapan kakitangan terbabit dan pegawai pentadbiran.

Mah Hang Soon berkata, pihaknya memberikan dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Katanya, kakitangan berkenaan turut melahirkan rasa kesal dan secara sukarela menawarkan diri untuk meletakkan jawatan susulan insiden tersebut.

“MCA Perak menerima keputusan itu atas dasar menghormati keputusan peribadinya. Dia telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama bertahun-tahun dan kami akan menguruskan perkara berkaitan dengannya dengan sewajarnya,” katanya.

Related Posts