Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebuah roket gergasi milik syarikat SpaceX, Starship 36, meletup semasa ujian rutin di kemudahan pelancaran Starbase, Texas, Amerika Syarikat.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook oleh pihak berkuasa Daerah Cameron, roket tersebut mengalami “kegagalan besar dan meletup” semasa ujian statik, iaitu sebahagian daripada prosedur persiapan pelancaran di mana roket ditambat ke tanah untuk ujian pembakaran enjin.
Rakaman video yang dikongsi menunjukkan roket masih berada pada kedudukannya sebelum disusuli letupan besar yang marak berapi
SpaceX dalam kenyataan berasingan menyatakan roket itu sedang menjalani persiapan untuk ujian penerbangan ke-10 apabila ia “mengalami anomali besar” ketika berada di pelantar ujian, namun tidak memperincikan punca sebenar kejadian.
“Zon keselamatan telah diwujudkan di sekitar kawasan tapak sepanjang operasi, dan semua kakitangan berada dalam keadaan selamat serta telah dikenal pasti.
“Pasukan kami di Starbase kini sedang giat menjalankan kerja-kerja keselamatan di tapak ujian dan kawasan sekitar dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
“Tiada sebarang ancaman kepada penduduk di kawasan berhampiran, dan orang ramai diminta untuk tidak menghampiri kawasan tersebut selagi operasi keselamatan masih dijalankan,” ujarnya.
Starbase, yang terletak berhampiran sempadan Texas-Mexico, merupakan ibu pejabat projek angkasa lepas kendalian jutawan Elon Musk.
Starship, yang berketinggian 123 meter (403 kaki), merupakan roket terbesar dan terkuat di dunia, dan menjadi teras kepada visi jangka panjang Musk untuk menjadikan manusia sebagai spesies antara planet dengan menjajah Marikh. Ia direka bentuk sebagai roket boleh guna semula sepenuhnya dan mampu membawa muatan sehingga 150 tan metrik.
Insiden ini adalah kejadian kedua dalam tempoh sebulan apabila sebuah prototaip Starship meletup di Lautan Hindi pada akhir Mei. Ketika itu, roket telah berjaya dilancarkan dari Starbase pada 27 Mei, namun bahagian penggalak pertama, Super Heavy, meletup sebelum sempat mendarat di Teluk Mexico seperti yang dirancang.
Sumber: The Guardian








