SPRM sahkan tiada unsur salah guna kuasa dalam Projek MyKiosk | The Reporter

SPRM sahkan tiada unsur salah guna kuasa dalam Projek MyKiosk

Seorang peniaga wanita berada di dalam kios MyKiosk sambil tersenyum, manakala seorang lelaki mengambil gambar menggunakan telefon bimbit.
Program MyKiosk bantu usahawan kecil jalankan perniagaan di lokasi strategik. | Kredit gambar: Rnggt

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesahkan Program MyKiosk bebas daripada sebarang unsur jenayah atau salah guna kuasa selepas siasatan teliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu, dokumen lengkap telah diserahkan kepada SPRM pada 22 Mei lalu sebagai bukti keterbukaan kementerian.

“SPRM pada 3 Julai memutuskan tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan. Mereka hanya mencadangkan beberapa penambahbaikan dari segi tadbir urus,” katanya di Dewan Negara, Rabu lalu.

Laporan itu menjawab pertanyaan beberapa senator berhubung pengurusan dan pelaksanaan MyKiosk.

Baca juga:

Peruntukan & kadar pengisian

Untuk rekod, MyKiosk 1.0 pada 2023 menelan belanja RM48.18 juta dengan 3,189 unit kios, manakala MyKiosk 2.0 tahun ini membabitkan kos RM98.75 juta untuk 4,054 unit kios. Setakat ini, kadar pengisian MyKiosk 1.0 mencapai 94.39 peratus, sementara MyKiosk 2.0 berada pada tahap 89.07 peratus.

Aiman Athirah menjelaskan baki unit yang masih kosong berpunca daripada isu lokasi, kekurangan infrastruktur asas, serta tapak yang belum siap. Pasukan petugas dalaman kini ditubuhkan bagi mempercepat pengisian melalui pemantauan bersepadu dan sesi libat urus dengan pihak terlibat.

Penambahbaikan versi baharu

Mulai 2025, sistem pemantauan berasaskan kaedah Traffic Light akan diperkenalkan untuk menilai prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan pemberian markah penuh sebagai insentif.

Dari segi spesifikasi, kos siling MyKiosk 1.0 ialah RM15,000 seunit, manakala MyKiosk 2.0 meningkat kepada RM25,000 seunit dengan penambahan ciri baharu seperti panel solar 100 watt (sebelum ini 50 watt), kipas, dinding powdercoated, kalis air tahan cuaca serta keluasan lebih besar.

Selain itu, PBT dibenarkan menempatkan semula kios ke kawasan lebih strategik memandangkan reka bentuknya mudah alih dan fleksibel.

Sumber: BERNAMA

Related Posts