'Solat berjemaah, pendidikan & kecekalan' - Lelaki kongsikan 3 perkara utama yang kita boleh belajar dari kejadian menimpa Palestin - The Reporter

‘Solat berjemaah, pendidikan & kecekalan’ – Lelaki kongsikan 3 perkara utama yang kita boleh belajar dari kejadian menimpa Palestin

Kejadian yang menimpa rakyat Palestin sangat meruntun hati tetapi semangat juang yang ditunjukkan oleh mereka tanpa mengira peringkat umur dan jantina sangat mengagumkan.

Ketika kita masih gembira meraikan sesuatu perkara dan ketika kita masih lena dibuai mimpi, mereka memikirkan cara berdepan hari esok dengan berbumbungkan langit, berlantaikan tanah.

Menerusi satu perkongsian di laman X, lelaki ini menyatakan peristiwa yang berlaku di Palestin seharusnya dipelajari dan dijadikan contoh oleh kita semua. Beberapa perkara penting yang wajar dititikberatkan dan dijadikan sebagai panduan di kemudian hari.

“Ada banyak perkara yang saya rasa kita boleh belajar dan contohi daripada rakyat Palestin ini. Tiga yang utama, solat berjemaah, pendidikan dan kecekalan.

Solat berjemaah

“Solat berjemaah, dalam apa jua keadaan, mereka sangat mementingkan solat berjemaah. Walaupun dalam keadaan pertempuran dan peperangan, kewajipan mendirikan solat ini tidak pernah mereka abaikan!

“Kalau kita Google, sekian banyaknya video dan gambar pejuang-pejuang mereka sedang bergilir mendirikan solat. Dalam apa jua keadaan, apabila kita meletakkan niat utama kita untuk mendapat redha Allah, tidak apa yang akan menggentarkan hati kita.

“Dan itulah kekuatan yang Allah suburkan dalam hati mereka. Dan mungkin itu juga yang perlu kita usahakan sehabis baik di dalam diri kita,” tulisnya.

Pendidikan

Selain daripada menitikberatkan mengenai solat berjemaah, rakyat di sana juga amat mementingkan pendidikan. Kerana pendidikan dilihat sebagai teras utama perjuangan.

“Walaupun mereka dikepung daripada segenap arah.Bantuan-bantuan kerap kali disekat dan dinafikan. Sekolah-sekolah saban tahun dibom dan dimusnahkan. Tetapi pendidikan tetaplah perjuangan utama mereka.

“Setiap kali dimusnahkan oleh zionis, mereka bangunkan semula tanpa jemu. Kerana mereka percaya, pendidikan adalah senjata paling ampuh untuk mereka menuntut tanah air yang telah dirampas dan dijajah sekian lamanya.

“Dan disebabkan itulah, walaupun dalam keterbatasan serta kekurangan, mereka dapat menghasilkan pelbagai alat-alat ketenteraan yang zionis sendiri tidak jangkakan.

“Pendidikan sememangnya senjata terpenting, untuk apa jua peperangan yang sedang kita perjuangkan. Jadi, belajarlah. Lagi dan lagi. Jangan mudah putus asa,” katanya.

Kecekalan dalam hidup

Antara lain sikap yang wajar dipuji masyarakat di sana adalah kecekalan mereka dalam meneruskan kehidupan.

“Selepas peperangan ini tamat , kita akan menyaksikan puluhan jika bukan ratusan bangunan musnah dibedil oleh zionis.Ribuan kanak-kanak akan hilang tempat tinggal. Dan sebahagiannya akan kehilangan kedua ibu bapa juga.

“Tapi kalian juga akan melihat anak-anak ini tetap cekal meneruskan kehidupan. Dan setiap apa yang terjadi ini, menjadi benih menyuburkan semangat perjuangan dalam diri mereka. Mungkin ada air mata mereka yang jatuh ke tanah. Mungkin ada luka yang tidak pernah hilang jauh di sudut hati mereka.

“Tetapi mereka tidak pernah barang sekali berputus asa untuk menuntut kembali tanah air mereka. Dan itulah juga yang kita perlu contohi dalam kehidupan kita sehari-hari.

“Semoga Allah memberikan kekuatan serta kemenangan buat saudara-saudara kita yang sedang berjuang di Palestin. Kita mungkin tidak pernah melangkah kaki ke sana, tetapi Palestin tetap punya ruang yang istimewa dalam hati kita semua.

“Semoga kemenangan milik kalian Palestin,” tulisnya.

Sumber: Mior Azli

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!