Orang ramai dinasihatkan untuk tidak panik mengenai ‘solar storm’ atau ribut suria yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.
Profesor Madya Ts Dr Roslan Umar, Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), menjelaskan bahawa ribut suria adalah fenomena biasa dan kerap berlaku.
Menurut beliau, “Bumi akan mengalami ‘solar storm’ yang kuat pada tahun depan dan saintis meramalkan kita akan mencapai ‘solar maximum’ pada 2024. Yang boleh melumpuhkan internet di dunia selama beberapa minggu.
“Namun, orang awam tidak perlu panik kerana fenomena ini adalah biasa dan berlaku dengan kekuatan yang berbeza-beza.”
Beliau menambah, kesan ribut solar ini boleh dilihat pada kejadian aurora di kawasan kutub bumi. Aurora itu sebenarnya merupakan bukti kewujudan fenomena tersebut.
Ribut solar boleh menganggu medan magnet bumi dan menghasilkan Geomagnetically Induced Currents (GIC) yang boleh menganggu bekalan kuasa dan elektrik di bumi disebabkan cas yang berlebihan.
Namun, kesan dan akibat ribut suria tersebut biasanya lemah, berdasarkan rekod-rekod kejadian yang lalu.
“Kesan lain yang boleh dilihat adalah gangguan kepada sistem telekomunikasi gelombang radio atau dikenali sebagai ganguan ionosfera mendadak (SID). Namun, kita bertuah kerana ALLAH SWT telah melindungi bumi dengan lapisan atmosfera dan medan magnet tersendiri,” jelas beliau.
Sumber: Sinar Harian