'Skim Buy Now Pay Later cecah RM3.8 bilion, 70% libatkan B40' - Lim Hui Ying | The Reporter

‘Skim Buy Now Pay Later cecah RM3.8 bilion, 70% libatkan B40’ – Lim Hui Ying

Lim Hui Ying memaklumkan hutang BNPL sudah mencecah RM3.8 bilion.
Gambar: Facebook Lim Hui Ying.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memaklumkan bahawa jumlah pinjaman menerusi kemudahan Buy Now Pay Later (BNPL) setakat 30 Jun 2025 adalah sebanyak RM3.8 bilion, iaitu bersamaan 0.2 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah di Malaysia.

Menurut beliau, golongan belia menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pinjaman tersebut, manakala jumlah pinjaman BNPL yang masih belum dibayar atau tertunggak pula adalah RM121.8 juta, iaitu 3.2 peratus daripada keseluruhan pinjaman BNPL.

“Menerusi kajian Pasukan Petugas CCOB ke atas lebih 21,000 pengguna aktif BNPL, didapati 88 peratus pengguna berjaya melunaskan hutang mereka sepenuhnya pada tarikh ansuran yang ditetapkan. Manakala, 12 peratus membuat bayaran lewat tetapi masih dapat melunaskan hutang mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.

Baca juga:

Tambah beliau lagi, hanya kurang daripada satu peratus pengguna BNPL dikenal pasti langsung tidak mampu membayar balik pinjaman.

“Lebih daripada 70 peratus daripada 20,000 pengguna aktif BNPL terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah, iaitu kurang daripada RM5,000 sebulan. Namun begitu, sebahagian besar daripada mereka menyatakan mempunyai lebihan wang pada setiap hujung bulan untuk tujuan simpanan atau perbelanjaan,” jelas beliau.

Pemantaun kerajaan

Mengulas mengenai kebimbangan yang dibangkitkan berhubung risiko BNPL terhadap kestabilan kewangan rakyat, Lim berkata kerajaan mengambil langkah serius melalui pelaksanaan Rangka Kerja Pengawasan BNPL di bawah RUUKP (Rang Undang-Undang Kredit Pengguna).

“Melalui RUUKP, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan melaksanakan satu rangka kerja pengawasan BNPL yang menyeluruh dan mampan. Syarikat BNPL diwajibkan untuk melakukan penilaian terhadap kemampuan berhutang sebelum meluluskan pinjaman kepada pengguna kredit.

“Langkah ini bagi memastikan pengguna benar-benar mampu membayar balik pinjaman tanpa mengalami tekanan kewangan yang serius hingga terjerumus ke dalam perangkap hutang,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa meskipun kebanyakan pinjaman BNPL ketika ini melibatkan jumlah kecil dan tidak melepasi ambang tindakan undang-undang bagi status muflis, namun kerajaan tetap akan memantau secara rapi dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan industri BNPL mengamalkan prinsip pemberian pinjaman secara bertanggungjawab.

Sumber: Media Selangor

Related Posts