SJK(C) Chung Hua Port Dickson mohon maaf, insiden jalur gemilang dipasang terbalik | The Reporter

SJK(C) Chung Hua Port Dickson mohon maaf, insiden jalur gemilang dipasang terbalik

SJK(C) Chung Hua Port Dickson tampil memohon maaf isu jalur gemilang dipasang terbalik.
Gambar tular media sosial.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pihak SJK(C) Chung Hua Port Dickson tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat susulan insiden jalur gemilang tergantung secara terbalik di kawasan sekolah sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

“Kami amat kesal atas kejadian tersebut dan dengan penuh rasa tanggungjawab, memohon maaf kepada masyarakat,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengelola, PIBG serta pihak sekolah.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada petang Jumaat, 1 Ogos 2025, ketika seorang pekerja sekolah sedang menjalankan tugas pemasangan bendera. Bendera tersebut secara tidak sengaja telah dipasang dalam keadaan terbalik dan hanya disedari kemudian. Tindakan pembetulan segera telah diambil sekitar jam 5 petang pada hari sama.

Kenyataan yang dibuat oleh pihak sekolah
Baca juga:
Tiada unsur sengaja, sekolah tegas hormat simbol negara

Pihak sekolah menjelaskan bahawa insiden itu tidak disengajakan, sebaliknya berlaku akibat kecuaian yang tidak dirancang.

“Kami mengakui bahawa ia telah menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam. Kami rasa amat kesal,” kata kenyataan itu lagi.

Pihak sekolah turut menegaskan bahawa mereka sentiasa menitikberatkan penghormatan terhadap simbol negara serta komited melaksanakan pendidikan patriotik dalam kalangan murid. Sepanjang Bulan Kebangsaan ini, pelbagai aktiviti sedang berlangsung termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Pertandingan Hiasan Kelas, Kuiz Hari Kebangsaan, Pertandingan Fotografi, Mewarna, Reka Poster dan Perarakan Patriotik.

Langkah penambahbaikan diambil

Bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang, pihak sekolah memaklumkan bahawa mereka akan memperketatkan prosedur pemantauan dan pelaksanaan agar lebih teliti dan berwaspada.

“Kami beriltizam untuk memastikan simbol negara dihormati dan dipelihara dengan sebaik-baiknya,” tegas pihak sekolah.

Pihak Lembaga Pengelola, PIBG dan sekolah turut berjanji untuk terus melaksanakan tanggungjawab pendidikan dengan penuh integriti demi menjaga maruah negara.

Terdahulu, tular di media sosial gambar bendera Malaysia yang dipasang terbalik di sekolah berkenaan yang mencetuskan kritikan ramai.

Sumber: Mohd Fadli Salleh

Related Posts