Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusoff, mencetuskan kontroversi apabila mencabar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, supaya memeluk Islam jika benar-benar ikhlas terhadap agama itu.
Beliau berkata demikian bagi mempertahankan tindakannya mencelah ucapan Nga di Dewan Rakyat sebelum ini, susulan penggunaan istilah seperti “Alhamdulillah” dan “sujud syukur” ketika menteri itu membentangkan kejayaan projek perumahan.
“Kalau dia betul-betul ikhlas, jom masuk Islam. Saya cuma tak mahu istilah Islam ini disalahgunakan,” katanya.
Baca juga:
- ‘PRU-16 perlu disegerakan, ini kehendak rakyat’ – Zahid
- ‘UMNO tidak boleh bergantung pada mana-mana parti’ – Tok Mat
- ‘PH laksana bahtera yang tidak tahan dilambung ombak’ – Hadi Awang
Nga berbeza dengan Balasubramaniam
Pada masa sama, Siti Zailah menjawab kritikan netizen di media sosial yang mengaitkan isu itu dengan pendirian PAS terhadap Ketua Sayap Penyokong Bukan Islam (DHPP), N Balasubramaniam, yang sebelum ini memetik ayat al-Quran dalam muktamar parti tanpa menerima kritikan keras.
Menurutnya, konteks kedua-dua kes adalah berbeza kerana Balasubramaniam tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang didakwa memperlekehkan Islam.
“Nga tidak seperti DHPP. DHPP tidak bersifat begitu,” katanya.
Beliau mendakwa Nga pernah membuat ucapan dalam bahasa Cina yang dikatakan mempunyai unsur menentang atau memperli Islam, namun menampilkan watak berbeza ketika berucap di Parlimen.
“Ini kawan-kawan Cina juga yang bagitahu. Bila berucap pada kaum Cina, kadang-kadang keluar perkataan memperli Islam,” katanya.
Siti Zailah menyifatkan situasi itu sebagai menunjukkan perbezaan sikap bergantung kepada khalayak.
Baca juga:
- Terbuang air besar ketika perlumbaan, atlet HYROX tetap habiskan saingan
- Diberi masa 6 bulan untuk hidup, bapa habiskan sisa waktu cari tempat anak autisme
- Secangkir Cafe ditutup, jualan terakhir hari ini
‘Jom masuk Islam’ jika benar ikhlas
Mengulas lanjut, Siti Zailah menegaskan bahawa persoalannya kepada Nga dibuat atas dasar menjaga kesucian istilah berkaitan Islam.
Katanya, “Alhamdulillah” bukan sekadar ungkapan biasa, sebaliknya membawa maksud bersyukur kepada Allah dan mencerminkan kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa.
“Surah al-Fatihah bermula dengan Alhamdulillah. Apabila seseorang sebut Alhamdulillah, dia bersyukur kepada Allah, pencipta. Jadi saya tanya, adakah sesuai dengan akidah yang dia pegang,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa soalan sama ada Nga “beriman” bukan bertujuan menghina, sebaliknya untuk memahami keserasian antara ucapan dengan pegangan agama. Sebagai orang Islam, beliau bertanggungjawab menegur jika istilah agama digunakan tanpa kefahaman yang jelas.
Mengulas lebih jauh, Siti Zailah mengulangi kebimbangannya terhadap sikap Nga dengan membandingkannya dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, yang menurutnya pernah menampilkan imej mesra Muslim tetapi didakwa mempunyai “agenda lain”, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa penggunaan istilah Islam tanpa keikhlasan dan kefahaman sebenar boleh membawa maksud tersirat.
Nga sebelum ini mempertahankan dirinya dengan menjelaskan bahawa beliau dilahirkan di Kelantan dan sudah biasa menggunakan istilah Islam dengan penuh hormat. Katanya, ungkapan tersebut digunakan sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan, bukan untuk mempersendakan agama.
Sumber: MalaysiaKini











