Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Selama lima tahun dalam industri lakonan, Siti Khadijah Halim, 27, menganggap populariti bukanlah keutamaan. Bagi pelakon dan model ini, lakonan hanyalah kerjaya biasa yang kebetulan memberi wajahnya pendedahan di TV dan pawagam.
“Saya tak terlalu fikir soal populariti. Ini hanyalah kerja saya seperti orang lain bekerja di pejabat. Kalau orang kenal, itu rezeki lebih buat saya,” katanya.
Mengimbau permulaan kerjayanya, Siti Khadijah menekankan perjalanan ke watak utama bukanlah mudah. Dari pelakon tambahan kepada watak sampingan, kini dia memikul peranan utama dalam beberapa drama terkenal. Di sebalik kamera, Siti Khadijah sering meluangkan masa memerhati pengarah dan kru produksi.
Minatnya terhadap genre aksi turut terserlah, meskipun dia sedar akan pentingnya keselamatan dalam lakonan.
“Saya nak cuba aksi lasak, macam tunggang motosikal atau buat lagak ngeri,” ujarnya.
Siti Khadijah juga menyambut baik kehadiran pelakon baharu dalam industri hiburan. Bagi dirinya, kehadiran mereka memberi warna kepada dunia hiburan dan dia bertekad untuk terus belajar dan memberi yang terbaik dalam setiap persembahan.
Siti Khadijah turut memasang impian untuk menembusi pasaran antarabangsa dan berharap dapat berlakon dalam produksi luar negara.
“Jika ada peluang berlakon di luar, mengapa tidak? Mana tahu suatu hari nanti dapat beraksi di Hollywood atau dalam filem seperti Marvel. Ini semua adalah impian, dan saya terbuka untuk mencuba,” katanya.