'Sistem dua peringkat Tahun 1 cetus kasta, stigma dan risiko buli' – Syed Saddiq | The Reporter

‘Sistem dua peringkat Tahun 1 cetus kasta, stigma dan risiko buli’ – Syed Saddiq

Syed Saddiq kritik sistem dua peringkat Tahun 1 cetus kasta, stigma dan risiko buli.
Syed Saddiq menggesa sistem dua peringkat Tahun 1 ditangguhkan kerana dibimbangi mewujudkan kasta, stigma dan risiko buli dalam kalangan murid.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberi amaran bahawa cadangan membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 secara pilihan berpotensi mewujudkan sistem kasta dalam sekolah rendah, sekali gus membuka ruang kepada stigma, pelabelan dan pembulian dalam kalangan murid.

Berbahas di Dewan Rakyat semalam, beliau menegaskan sistem kemasukan yang tidak seragam akan membezakan murid sejak awal usia, dengan sebahagian dilabel sebagai “pandai” manakala yang lain dianggap lambat atau gagal, hanya kerana tidak melepasi ujian diagnostik yang dicadangkan.

Risiko pelabelan dan diskriminasi sejak awal usia

Menurut Syed Saddiq, sebelum ini kemasukan murid ke sekolah rendah adalah seragam mengikut umur, namun perubahan kepada sistem dua peringkat akan mencetuskan jurang sosial dalam bilik darjah. Murid yang masuk lebih awal berisiko menerima label positif berlebihan, manakala mereka yang masuk setahun kemudian pula mudah dipandang rendah.

Keadaan ini, katanya, bukan sahaja mewujudkan diskriminasi, malah membuka ruang kepada budaya mengejek dan membuli, sedangkan kanak-kanak sepatutnya dilindungi daripada tekanan sosial pada usia yang terlalu muda.

Baca juga:

Lebih menguntungkan keluarga berada

Beliau turut mengkritik cadangan itu kerana didakwa lebih memihak kepada keluarga berkemampuan yang mampu menghantar anak ke prasekolah berkualiti sebagai persediaan menghadapi ujian kemasukan. Sebaliknya, ramai keluarga berpendapatan rendah terpaksa bergantung kepada prasekolah tidak berdaftar dengan kualiti rendah akibat kekangan kos.

Syed Saddiq memetik dapatan bahawa Malaysia hanya mempunyai kurang daripada 4,000 prasekolah berdaftar, jauh daripada keperluan sebenar sekitar 40,000, sekali gus menjadikan persaingan awal itu tidak adil dari sudut akses pendidikan.

Beban baharu kepada guru dan sistem

Selain isu stigma, beliau memberi amaran sistem baharu itu bakal menambah beban kepada guru prasekolah dan guru Darjah Satu. Dengan kira-kira 450,000 murid memasuki Darjah Satu setiap tahun, pelaksanaan ujian diagnostik akan melibatkan ratusan ribu penilaian individu yang perlu dikendalikan oleh guru di lapangan.

Sehubungan itu, Syed Saddiq menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan pelan tersebut sehingga semua isu diselesaikan, termasuk kekurangan guru dan kemudahan. Beliau turut mencadangkan pendidikan prasekolah dijadikan percuma dan kemasukan ke sekolah rendah diseragamkan bagi mengelakkan kewujudan sistem dua peringkat.

Sumber: MalaysiaKini

Related Posts