Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menegaskan bahawa rokok elektronik atau vape akan dianggap sebagai isu berkaitan dadah.
Menurut beliau, langkah tegas perlu diambil kerana vape bukan sahaja berbahaya, malah kini terbukti mengandungi bahan menyebabkan ketagihan dan berbahaya seperti etomidate yang boleh mendatangkan ketagihan serius dan lebih buruk pada masa masa hadapan.
“Setakat ini kita telah menganggap rokok elektronik seperti tembakau, paling berat kita kenakan denda, tetapi itu tidak lagi mencukupi.
“Kita akan menganggap ia sebagai isu dadah dan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat. Ini termasuk hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual rokok elektronik dengan bahan berbahaya,” katanya.
Baca juga:
- Ucapan anak Allahyarham Dr Aiman sentuh hati ramai
- PN ucap tahniah kepada Vijay, puji kemenangan TVK di Tamil Nadu
- ‘Type M, C dan I bukan lagi gurauan, tapi kemarahan tersirat’ – Zahid Hamidi
Laporan The Straits Times sebelum ini mendedahkan, kira-kira satu daripada tiga rokok elektronik yang dirampas di Singapura mengandungi etomidate sejenis anestetik yang kini dikategorikan sebagai dadah berbahaya.
Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri untuk menyenaraikan etomidate di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (Misuse of Drugs Act).
Langkah itu membolehkan pesalah yang mengedar atau menjual vape mengandungi etomidate dikenakan hukuman sama seperti pengedar dadah lain.
Dalam pada itu, Wong berkata pendekatan lebih tegas akan memastikan masyarakat, khususnya golongan muda, tidak terjerumus dalam bahaya ketagihan baharu yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik.
Kerajaan ujarnya akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan melancarkan kempen pendidikan awam secara besar-besaran di sekolah, institusi pengajian tinggi serta semasa perkhidmatan negara. Usaha ini diterajui Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan, namun merupakan gerakan menyeluruh seluruh kerajaan.
Sumber: Astro Awani, The Straits Times











