Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. masing-masing dikenakan kompaun RM100,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut MCMC, tindakan terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad diambil selepas siasatan mendapati organisasi itu telah memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap di akhbar digital miliknya.
Sementara itu, Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. pula dikenakan kompaun selepas siasatan mendapati akaun Instagram rasminya menyiarkan maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara, termasuk dakwaan yang mengaitkan jawatan kepimpinan tertinggi negara dengan sebuah parti politik tempatan.
MCMC menjelaskan, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang membawa hukuman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 233(2).
Tindakan kompaun pula dibuat mengikut Seksyen 243 akta yang sama.
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Dalam kenyataan itu juga, MCMC menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat serta penuh hemah pada setiap masa.
Suruhanjaya tersebut turut mengingatkan semua pihak media dan pengguna media sosial supaya sentiasa memastikan ketepatan serta kesahihan kandungan yang diterbitkan, khususnya apabila melibatkan lambang dan simbol rasmi negara.
MCMC menegaskan, pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan serta melaksanakan pelbagai inisiatif literasi digital bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negara sentiasa terpelihara.








