'Silap besar mansuhkan UPSR & PT3' - Guru dedah ramai pelajar lemah BM & Matematik | The Reporter

‘Silap besar mansuhkan UPSR & PT3’ – Guru dedah ramai pelajar lemah BM & Matematik

Pelajar sekolah menengah sedang menduduki peperiksaan di dalam dewan, duduk di meja biru dengan pakaian seragam sekolah.
Guru dedah pemansuhan UPSR & PT3 silap besar apabila ramai pelajar kini lemah dalam subjek asas seperti Bahasa Melayu dan Matematik. | Kredit gambar hiasan: Kosmo

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2021 dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 2022 terus menjadi topik hangat dalam kalangan pendidik. Seorang guru menerusi platform Threads meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa langkah itu meninggalkan kesan negatif terhadap tahap pembelajaran pelajar.

Beliau berkata, ramai murid di peringkat menengah rendah masih gagal menguasai asas penting seperti darab dan bahagi, malah ada pelajar Tingkatan 3 yang belum mampu menulis atau bertutur Bahasa Melayu dengan baik.

“Kebanyakan pelajar mengikuti pembelajaran tanpa memberi tumpuan, seolah-olah berada dalam waktu cuti,” katanya, sambil menegaskan ketiadaan peperiksaan besar menyebabkan fokus dan disiplin pelajar semakin merosot.

Baca juga:

UPSR dan PT3 bukan sekadar peperiksaan

Menurut guru berkenaan, peperiksaan awam seperti UPSR dan PT3 berfungsi sebagai penanda aras penting yang memastikan pelajar benar-benar menguasai asas sebelum melangkah ke tahap seterusnya. Tanpa ujian itu, katanya, pelajar ibarat dibiarkan sahaja dengan pesanan ‘teruskan, jangan risau tentang asas, nanti kamu akan faham juga kemudian’.

Namun, realitinya pelajar terus membesar tanpa asas kukuh, tidak mampu berfikir secara kritis, malah gagal mengekspresikan diri dengan baik dalam bahasa ibunda.

Beliau juga menegaskan, peperiksaan bukan sekadar tentang gred, tetapi tentang disiplin, tanggungjawab dan tabiat belajar. Ketiadaan peperiksaan besar katanya hanya akan melahirkan generasi yang tidak bersedia menghadapi cabaran sebenar pada masa depan.

Luahan guru yang tular di laman Threads sebelum dipadamkan
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin
Keputusan KPM ketika era Radzi Jidin

Untuk rekod, pemansuhan UPSR diumumkan pada April 2021 manakala PT3 dimansuhkan pada Jun 2022. Kedua-duanya diumumkan ketika Kementerian Pendidikan dipimpin Datuk Dr. Radzi Jidin, dengan alasan memberi penekanan kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan mengurangkan budaya berorientasikan peperiksaan.

Namun, pandangan guru ini mencerminkan kebimbangan bahawa sistem baharu tanpa peperiksaan utama mungkin meninggalkan ramai pelajar tanpa asas kukuh yang diperlukan untuk berjaya.

Sumber: Threads

Related Posts