Shila dakwa diserang artis legenda, Awie nafi terlibat: 'Saya tak ada pun masa tu' | The Reporter

Shila dakwa diserang artis legenda, Awie nafi terlibat: ‘Saya tak ada pun masa tu’

Shila Amzah dan Awie dalam isu dakwaan insiden latihan konsert
Shila Amzah dakwa diserang artis legenda semasa latihan konsert; Awie tampil beri penafian, nyatakan dia tiada di lokasi | Kredit gambar: Utusan Malaysia, Shila Amzah

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Shila Amzah tampil membuat laporan polis mendakwa dirinya telah diserang secara verbal oleh seorang penyanyi legenda ketika sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 MR D.I.Y yang berlangsung di Stadium Merdeka baru-baru ini.

Dalam kenyataan di Instagram Story, Shila meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan artis tersebut yang didakwa memarahinya secara terbuka di hadapan kru produksi. Katanya, insiden itu mencetuskan tekanan emosi sehingga dia bimbang akan keselamatannya sendiri.

“Tak sangka seseorang yang digelar legenda boleh menyerang saya di hadapan semua kru secara terbuka. Nasib baik kamu dah berumur. Tapi kamu dah cetuskan rasa cemas dan rasa tak selamat dalam diri saya,” tulisnya.

Kenyataan Shila Amzah di Instastorynya semalam

Baca juga:

Apa tindakan polis setakat ini?

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, laporan polis dibuat Shila pada 10 Julai 2025 di IPD Dang Wangi dan disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung ugutan.

Siasatan awal mendapati tiada sebarang sentuhan fizikal berlaku, sebaliknya gangguan berbentuk lisan dan emosi.

Setakat ini, polis telah merakam keterangan dua individu dan sedang mengenal pasti suspek yang disebut dalam laporan. Identiti penyanyi terbabit masih belum didedahkan secara rasmi dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Awie nafi terlibat, tegaskan tidak hadir semasa kejadian

Datuk Awie | Kredit gambar: M.Firdaus M.Johari / Utusan Malaysia

Nama penyanyi legenda seperti Awie, Ella dan Amy Search mula disebut oleh netizen kerana mereka turut dijemput ke konsert tersebut. Namun, Datuk Awie menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Dalam kenyataannya kepada mStar, Awie berkata dia tidak berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku dan tidak pernah bercakap dengan Shila.

“Merangkaklah cari saya di akhirat nanti, fitnah tu dosa besar. Jangan main sebut saja,” katanya.

Awie juga menyatakan rasa kesal kerana namanya dikaitkan tanpa bukti dan menyifatkan perkara itu sebagai satu bentuk fitnah yang tidak sepatutnya berlaku.

Related Posts