Fahmi: ‘Malaysia MADANI Rakyat Disantuni’ sangat magikal, PM pun puji ‘sangat-sangat best’
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, “Malaysia MADANI Rakyat Disantuni”, kini menjadi siulan wajib di setiap penjuru sektor kerajaan dari lobi kementerian hinggalah ke siaran berita utama.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan diwajibkan memainkan lagu tersebut sebagai sebahagian usaha menyemarakkan semangat patriotisme sepanjang Bulan Kebangsaan 2025.
Lagu berirama Malaysia ciptaan Datuk Mokhzani Ismail, dengan gubahan muzik oleh komposer muda Affan Mazlan dan dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza, digambarkan Fahmi sebagai karya yang “sangat-sangat magical” dan “benar-benar luar biasa”.
“Lagu ini bukan saja sedap didengar, tapi juga mendapat pujian daripada Perdana Menteri sendiri, yang kata lagu ni ‘sangat-sangat best’,” katanya semasa perhimpunan bulanan kementeriannya, semalam.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
RTM, Bernama & stesen penyiaran lain diminta pasang sebelum dan selepas berita
Fahmi turut menggesa Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama serta stesen penyiaran swasta lain untuk memainkan lagu tema ini sebelum dan selepas berita utama, termasuk dalam video promosi mereka sepanjang Ogos dan September.
Menurutnya, langkah ini bukan sekadar rutin, sebaliknya pendekatan komunikasi berkesan untuk membangkitkan semangat kebangsaan rakyat Malaysia.
“Kita nak lagu ini dimainkan di lobi kementerian, dalam majlis rasmi dan kalau boleh di setiap acara rasmi yang turut dihadiri Perdana Menteri. Saya akan cadangkan perkara ini secara rasmi kepada pihak JPM,” katanya.
Persiapan sambutan 31 Ogos & 16 September berjalan lancar
Lagu tema HKHM 2025 dilancarkan secara rasmi Ahad lalu di Dataran Tanjung Emas, Muar sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.
Bercakap mengenai persiapan sambutan utama, Fahmi berkata, kementeriannya kini sedang menyelaras aspek teknikal dan keselamatan termasuk kesalinghubungan, kawalan trafik serta perancangan beberapa gimik istimewa.
“Setakat ini persiapan berjalan baik dan saya berpuas hati. Kami nak pastikan kedua-dua sambutan ini bukan sekadar meriah, tapi benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos, manakala Hari Malaysia akan diraikan di PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 16 September.
Sumber: Bernama








