Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Peguam syarie, Fahmi Ramli, mendedahkan satu kisah mengejutkan yang berlaku di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh baru-baru ini. Seorang wanita warga emas telah hadir ke mahkamah berkenaan bagi mengesahkan pernikahannya.
Namun, alangkah terkejutnya apabila mendengar pernikahan yang dibina selama 29 tahun didapati tidak sah.
“Saya duduk sekejap selepas selesai satu kes. Tertarik untuk dengar perbicaraan seorang mak cik yang hadir tanpa peguam. Rupa-rupanya, ada isu besar di sebalik permohonan pengesahan nikah itu,” kongsi Fahmi.
Menurut pendedahan Fahmi, wanita tersebut berkahwin pada tahun 1996 bernikah secara Wali Hakim Nikah Sindiket kerana ayah kandungnya berada di luar Perak ketika itu. Namun, pernikahan itu dilakukan oleh individu yang tidak mempunyai tauliah sah dan dipercayai bekas Naib Qadhi Gopeng.
Lebih mengejutkan, Mahkamah kemudian menunjukkan salinan fatwa rasmi yang telah digazetkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak sejak 1997.
“Fatwa tersebut dengan jelas menyatakan bahawa pernikahan yang dilakukan oleh individu tersebut selepas 22 Julai 1989 adalah tidak sah kerana melanggar larangan Qadhi yang ketika itu mewakili Sultan Perak,” jelasnya.
Akibat fatwa tersebut, Mahkamah memutuskan bahawa pernikahan wanita itu selama 29 tahun adalah tidak sah dari sudut undang-undang dan syarak. Lebih menyedihkan, si suami telah meninggal dunia, menyebabkan wanita itu tidak lagi boleh dinikahkan semula bagi mengesahkan perkahwinan.
Status isteri dan anak-anak
Menurut Fahmi,pernikahan seperti ini dikategorikan sebagai Nikah Fasid, iaitu perkahwinan yang rosak syarat sahnya. Dalam keadaan begini, jika pasangan tidak mengetahui status tidak sah perkahwinan itu, mereka dibolehkan bernikah semula secara sah (jika pasangan masih hidup).
Tambahnya, anak-anak pula boleh diklasifikasikan sebagai Anak Wati’ Syubhah iaitu anak hasil hubungan yang diragui, tetapi bukan anak tak sah taraf.
“Anak wati’ syubhah boleh dinasabkan kepada bapa mereka, berhak kepada pusaka, dan boleh mendapat wali untuk pernikahan mereka. Tapi mereka perlu mendapatkan Perintah Pengesahan Nasab dari Mahkamah Syariah,” jelas Fahmi.
Bagaimanapun, jika ibu bapa sudah mengetahui pernikahan itu tidak sah dan tetap meneruskannya tanpa tindakan pembetulan, maka anak itu boleh dikira sebagai anak tak sah taraf, yang tidak boleh dinasabkan kepada bapa.
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Kesannya terlalu besar jika dibiarkan
Peguam itu turut menjelaskan, pernikahan anak-anak yang dinikahkan oleh bapa kandung (yang pernah bernikah secara sindiket) tetap sah jika anak itu adalah Anak Wati’ Syubhah, kerana bapa mereka masih mempunyai hak perwalian menurut Mazhab Syafie.
“Tapi kalau anak tak sah taraf, bapa biologi tiada hak jadi wali. Itu beza besar yang ramai tidak tahu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi menyeru masyarakat khususnya di Perak agar menyemak semula status pernikahan, terutama mereka yang pernah bernikah menggunakan wali hakim antara tahun 1989 hingga 1997, ketika fatwa itu dikuatkuasakan.
“Jika pasangan masih hidup, boleh buat permohonan pengesahan dan nikah semula. Tapi kalau pasangan sudah meninggal dunia, hak sebagai isteri untuk tuntutan harta pusaka mungkin terlepas begitu sahaja,” katanya.








