'Sekolah pondok akan diperkasa guna teknologi baharu dan AI' | The Reporter

‘Sekolah pondok akan diperkasa guna teknologi baharu dan AI’

Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan membangunkan sekolah pondok dengan teknologi AI.
Gambar: Facebook Anwar Ibrahim.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan komited untuk memulih dan memartabatkan semula institusi pondok agar terus berperanan sebagai benteng pertahanan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islam selari dengan tuntutan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan sekolah agama dan pondok daif dapat dibangunkan dengan kemudahan serta teknologi baharu.

“Kita mahu tambah dengan teknologi baharu termasuk teknologi maklumat, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) supaya benteng ini kekal sebagai benteng terkuat yang boleh pertahankan akidah, akhlak dan sahsiah ummah,” katanya.

Baca juga:

Menurut beliau, sejarah membuktikan institusi pondok kekal sebagai benteng terakhir mempertahankan jati diri umat Islam ketika sistem politik, ekonomi dan pendidikan negara tunduk kepada penjajahan.

Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan bahawa beliau akan melancarkan Program Mushaf Ummah pada 8 Ogos ini bagi memperluas penyebaran al-Quran dan mesej Islam ke seluruh dunia menerusi terjemahan rasmi dalam 30 bahasa.

“Dalam semua perjalanan saya ke seluruh dunia seperti Peru, Brazil, Perancis, Kemboja dan puluhan negara lain, setiap kali saya berkunjung, saya akan bawa al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa negara itu untuk diedarkan secara rasmi. Inilah bagi saya satu pendekatan yang baik,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Related Posts