Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Hari Kiamat merupakan Hari Pengakhiran bagi semua makhluk di atas muka bumi. Memetik dari e-Muallaf, hari berkenaan merupakan hari di mana semua manusia dihimpunkan dari seawal-awal kelahiran iaitu manusia semenjak zaman Nabi Adam dan Hawa hinggalah kepada manusia yang paling akhir sekali dijadikan dan dimatikan oleh Allah.
Pada hari berkenaan juga, setiap amalan manusia dihisab dan dikatakan kita akan dibangkitkan semula dengan keadaan bertelanjang melainkan empat golongan.
Memetik ceramah daripada Ustaz Azhar Idrus, golongan pertama yang dikecualikan adalah para Nabi dan juga Rasul.
“Nabi-nabi dibawa datang baju-baju dari syurga,” katanya.
Golongan kedua pula katanya adalah individu yang meninggal dunia dalam keadaan ihram.
“Nabi kata bukan sahaja bangkit dengan memakai ihram, tetapi bertalbiah di Padang Mahsyar kerana mati dalam keadaan ihram dan belum tahallul,” jelasnya.
Beliau juga menjelaskan golongan ketiga yang mendapat keistimewaan itu adalah golongan yang mati syahid. Golongan ini akan bangkit dengan pakaian yang dipakai semasa meninggal dunia ketika berperang.
Golongan keempat pula jelasnya merupakan peluang kepada kita sebagai insan biasa yang ingin meraih amalan ganjaran berkenaan.
“Golongan yang masih hidup di dunia, dia sedekahkan pakaian kepada orang miskin. Apa yang Nabi kata, apa yang kamu derma, itu yang akan kekal sampai hari Kiamat.
“Tapi kalau nak sedekah pakaian, beri pakaian yang masih elok,” katanya.