Penganjuran Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada hari esok (Rabu) mengundang pelbagai perspektif sehingga ada yang meminta konsert ini dibatalkan memandangkan konsert berkenaan diadakan ketika konflik ketegangan yang masih berlaku di Palestin.
Program yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu bagaimanapun disambut baik oleh beberapa pihak yang mendakwa penganjuran konsert berkenaan sudah lama diatur.
Mengulas mengenai isu ini Maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS atau lebih dikenali dengan Tok Ram berkata penelitian terperinci perlu dilakukan sekiranya ingin membatalkan konsert ini.
“Bagi membatalkan konsert tersebut, beberapa elemen perlu dilihat dari pelbagai sudut sebab akan ada banyak perkara yang terlibat.
“Sekarang ini bercakap untuk batalkan konsert ialah mereka melihat dari isu yang mana? Agama, tingkah laku, perniagaan, ekonomi atau sebagainya? Ada banyak.
“Saya tak mahu jawab isu ini kerana banyak elemen yang terlibat dan perlu diteliti. Semua elemen itu ada ‘plus minus’ (kebaikan dan keburukan),” katanya.
Dalam masa sama, dia juga berpendapat beberapa pihak yang meminta konsert itu dibatalkan kebanyakannya adalah golongan yang yang tidak membeli tiket.
“Kalau cakap tentang ekonomi, perlu selidik dari aspek penjualan tiket, tempah hotel dan beli tiket kapal terbang, semua itu melibatkan duit.
“Sebenarnya yang suruh batalkan konsert ialah orang yang tak beli tiket.
“Isu pembelian tiket pula melibatkan banyak perkara seperti penaja, penyanyi, stadium dan banyak lagi, semuanya berkait rapat,” katanya.
Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah turut menasihatkan supaya konsert Coldplay tidak diteruskan kerana disifat melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di Malaysia. Beliau juga meminta orang ramai tidak memberi sokongan kepada penganjuran konsert berkenaan yang dikatakan jelas bertentangan nilai murni dan budaya di negara ini.
Sumber: Kosmo