Hari ini, ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menerima keputusan peperiksaan mereka. Media sosial dibanjiri dengan ucapan tahniah, video kejutan, dan pelukan penuh syukur bersama ibu bapa dan guru.
Namun, di sebalik limpahan berita gembira itu, terselit satu kisah yang menyentuh jiwa. Seorang pelajar yang tidak sempat meraikan kejayaan bersama gurunya yang telah pergi menghadap Ilahi.
Kisah yang dikongsi melalui TikTok itu segera mencuri perhatian ramai, mengundang simpati dan doa daripada ribuan warganet.
Dalam video penuh emosi itu, pelajar terbabit kelihatan menitiskan air mata sambil memegang slip keputusan, diiringi seorang guru yang turut tidak mampu menahan sebak.
Turut kelihatan, seorang lagi guru datang menghampiri lalu memberi kata-kata semangat, cuba menenangkan suasana yang sarat dengan kehilangan dan rindu.
“Bukan tak reda, tapi sebak sebab tak sempat ambil result sekali dengan cikgu… Cikgulah yang mengajar dan cikgulah juga yang menjadi kawan untuk bergurau senda…”
Pelajar itu berkongsi bahawa dia berjaya mencapai sasaran yang pernah ditetapkan oleh arwah gurunya, dan menzahirkan penghargaan serta kerinduan yang mendalam buat insan yang banyak membimbingnya.
“Saya dah dapat apa yang cikgu target, tapi Allah lebih sayangkan cikgu. Terima kasih cikgu kerana bertungkus lumus untuk didik saya sampai ke titik ni. Saya rindu cikgu, cikgu tunggu di sana ye. Semoga tenang di sana, orang baik… Al-Fatihah.”
Luahan tersebut menyentuh hati ramai warganet yang turut meninggalkan doa serta berkongsi pengalaman mereka dengan guru-guru tersayang yang telah tiada.
Video ini bukan sahaja membuktikan betapa kuatnya ikatan antara murid dan guru, tetapi juga menjadi peringatan bahawa jasa dan kasih seorang pendidik akan terus hidup dalam sanubari anak muridnya, walaupun jasadnya telah tiada.








