Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Isnin.
Keputusan 2-1 yang memihak kepada bekas Perdana Menteri itu disambut gembira oleh penyokong-penyokong beliau yang setia menunggu di Istana Kehakiman Putrajaya.
Pelbagai spekulasi dan persepi juga mula timbul mengenai isu berkenaan.
Dalam pada itu, menerusi hantaran di Instagram Nurulhidayah Ahmad Zahid pula, beliau menzahirkan rasa syukur dengan keputusan yang diperoleh semalam.
“Alhamdulillah untuk hari ini. Semoga ada sinar untuk hari-hari yang bakal mendatang.
“Untuk hari ini, saya sebagai anak Zahid sangat bersyukur kerana Allah kabulkan doa dari kami yang tepat pada masa untuk dijawab oleh Allah.
“Ramai mengata Zahid Hamidi menipu pasal addendum. Sebagai anak kita diam. Balas bila perlu dan yang berkenaan sahaja. Bukan semua benda perlu dikongsi. Mereka yang berkenaan, hanya memilih untuk dengar apa yang mereka nak dengar sahaja dan cuma faham apa yang mereka nak faham, bukan apa yang mereka perlu faham,” katanya.
Katanya lagi, beliau pasti sesuatu kebenaran itu akan tetap wujud walaupun lambat.
“Penat. Tapi yang pasti, Allah akan mengkabulkan doa kita. Cuma masa milik Allah bukan milik kita. Lambat atau cepat, pasti pertolongan Allah itu akan sampai.
“Kebenaran itu tetap wujud walaupun lambat. Anak siapa pun kita, tetaplah berdoa untuk kedua orang tua kita. Doa kita pada mereka, adalah hadiah yang terbaik untuk membalas segala jasa dan pengorbanan mereka,” katanya.








