Sebelum ini tular mengenai usahawan yang dikenali sebagai Kieda Crepe dikatakan telah meletakkan syarat kepada pelanggan sebelum membeli barangan di kedainya. Syarat yang dikenakan adalah, pelanggan perlu membeli barangan vendor terlebih dahulu sebelum membeli barangan lain.
Walau bagaimanapun syarat yang dikenakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak, apatah lagi ramai yang merujuk penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus mengenai status pembelian begitu.
Sedar dirinya dikecam sebegitu rupa, Kieda tampil membuat penjelasan mengenai niatnya yang sebenar adalah bertujuan untuk membantu vendor-vendor.
“Saya nak bantu peniaga-peniaga kecil sahaja. Orang cakap kat saya, jangan halalkan benda yang tak halal.
“Saya tahulah benda tak halal sebab saya buat benda ini selepas saya balik dari umrah. Waktu saya pergi umrah, saya sembang dengan ustaz-ustaz, selepas itu saya sembang dengan syeikh,” katanya.
Dia turut menjelaskan bahawa, syarat-syarat yang dikenakannya itu adalah sama seperti yang diamalkan di kedai-kedai lain.
“Sebagai contoh seperti syarat kalau nak dapat cawan free, saya kena beli ubat gigi dulu sebelum dapat cawan,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan, syarat tersebut telah dibuat sejak dari tahun lepas. Tetapi isu ini mula timbul apabila dia cuba meluaskan penjualan produknya di Terengganu sehingga mengundang rasa tidak puas hati pembeli di negeri itu.
“Warga Terengganu sebenarnya geram dengan Alola tu. Alola buat limit yang tinggi, tak ada bincang dengan Kieda. Orang terus kata Kieda punya produk. Tapi dia dah minta maaf kat Kieda.
“Saya pernah tak buat limit, tapi saya kena maki juga,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, dia turut bersyukur dan berterima kasih kepada pelanggan yang masih setia menyokong dan membeli barangan di kedainya.
Sumber: TikTok