Baru-baru ini tular video yang merakamkan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd (MADACorp), Abdullah Ismail yang dilihat tidak menyambut salam Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tindakan berkenaan dikecam ramai kerana mereka menyifatkan Abdullah seperti tidak beradab.
Bagaimanapun, Abdullah tampil memohon maaf dan menjelaskan segala situasi.
Katanya, beliau telah bersalam dengan Mohamad Sabu dan pegawainya yang lain sebaik sahaja tiba di kawasan berkenaan.
Kemudiannya, dia terkedu apabila melihat Mohamad Sabu sekali lagi menghulurkan tangan kepadanya.
“Untuk makluman semua,saya telah bersalaman dengan YBM KPKM sebaik sahaja beliau keluar dari kereta.
“Kemudian saya mengiringi YBM KPKM bersalaman dengan pegawai-pegawai yang lain. Ketika mengiringi YBM KPKM bersalaman dengan pegawai lain, beliau telah menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengan dengan saya.
“Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu, saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau,” katanya.
Sementara itu, parti AMANAH Kedah dalam satu kenyataan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menghentikan serangan “siber buli” terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MADA Corp.