'Saya terbang ke India untuk kahwin, tapi majlis tak wujud & pengantin hilang' | The Reporter

‘Saya terbang ke India untuk kahwin, tapi majlis tak wujud & pengantin hilang’

majlis tak wujud dan pengantin hilang

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki dari Dubai, Deepak Kumar, 24, berasa kecewa selepas terbang lebih 1,200 batu ke India untuk majlis perkahwinannya, tetapi mendapati lokasi majlis tidak wujud dan bakal isterinya, Manpreet Kaur, juga telah menghilangkan diri.

Deepak, yang bekerja sebagai buruh, tiba di Moga, Punjab bersama 150 tetamu termasuk keluarga dan rakan. Majlis itu dirancang selepas tiga tahun hubungan melalui media sosial, namun semuanya berakhir dengan penipuan. Lokasi majlis yang diberitahu, “Rose Garden Palace” ternyata tidak wujud.

Lapor Mirror, Deepak mengenali Manpreet melalui Instagram dan mereka sering berbual serta berkongsi gambar. Kedua-dua keluarga turut bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan itu selepas berbincang melalui telefon.

Sebaik tiba di lokasi, Deepak dan rombongannya diarahkan menuju ke tempat majlis, tetapi selepas menunggu lama tanpa sebarang petunjuk, mereka cuba mencari lokasi itu sendiri. Namun, penduduk tempatan memberitahu lokasi tersebut tidak pernah wujud.

Deepak cuba menghubungi Manpreet, tetapi telefon wanita itu tidak dapat dihubungi. Keluarganya juga gagal dihubungi, menyebabkan Deepak dan tetamunya terkandas di kawasan itu.

Deepak yang telah membelanjakan wang untuk teksi, makanan tetamu, dan juruvideo akhirnya membuat laporan polis. Dalam laporannya, Deepak memaklumkan dia juga telah memindahkan sejumlah wang kepada Manpreet untuk persiapan majlis.

Bapa Deepak, Prem Chand, memberitahu semua perancangan, termasuk lokasi majlis dan senarai tetamu, dibuat melalui panggilan telefon dengan keluarga Manpreet. Selepas gagal mengesan mereka, laporan polis dibuat di Balai Polis Moga.

Penolong Sub-Inspektor Harjinder Singh mengesahkan pihaknya telah menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.

Related Posts