'Saya telah mengarahkan doktor pelatih ditempatkan ke hospital yang memerlukan' - Menteri KKM | The Reporter

‘Saya telah mengarahkan doktor pelatih ditempatkan ke hospital yang memerlukan’ – Menteri KKM

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Susulan tular isu keluhan petugas perubatan di sebuah hospital di Kedah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan supaya menempatkan semula doktor pelatih (HO) di hospital daerah yang memerlukan dengan kadar segera.

“Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan para petugas saban hari dan minggu. Namun ditegaskan, saya telah mengarahkan Dato KPK supaya segera menempatkan kembali HOs ke hospital-hospital daerah yang memerlukan,” katanya.

Menerusi hantaran di jaringan X itu, beliau juga memaklumkan langkah penambaikan jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dengan 147 Hospital KKM & lebih 3000 Klinik Kesihatan di seluruh negara, pasti banyak aduan akan saya terima.

“Teruskan menghantar maklum-balas dan kritikan (hanya elakkan kata-kata yang mengundang dosa).

“Saya akan terus ambil perhatian dan bertindak, sementara meneruskan pelbagai Reform saya,” tulisnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah (Kesihatan Awam) Dr Norizan Ahmad memaklumkan isu kekurangan sumber manusia akan ditangani sebaik mungkin supaya penyampaian perkhidmatan sedia ada tidak terjejas.

Katanya, pembahagian tugasan adalah selari dengan beban tugas semasa dan penempatan Pegawai Perubatan di sesebuah hospital pula ditentukan oleh Pengarah Hospital mengikut justifikasi dan keperluan semasa.

Selain itu juga katanya, perkhidmatan Klinik-klinik Pakar di Hospital Berpakar adalah melalui sistem janji temu secara berperingkat dan berjadual bagi mengelakkan isu masa menunggu yang panjang.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sentiasa terbuka untuk sebarang cadangan dan pandangan melalui saluran yang betul demi meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada pelanggan,” katanya.

Sumber: Dzulkefly Ahmad, Harian Metro

Related Posts