'Saya tak tuduh siapa salah, tak payah cabar saya' - Anwar | The Reporter

‘Saya tak tuduh siapa salah, tak payah cabar saya’ – Anwar

Anwar Ibrahim ketika menjelaskan isu laporan RCI Tabung Haji dan proses siasatan lanjut.
Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji bukan soal kaum atau politik, sebaliknya melibatkan pengurusan wang pendeposit yang dikumpulkan untuk tujuan ibadah haji.

Beliau berkata, dana berkenaan merupakan wang rakyat yang disimpan selama puluhan tahun dan sebarang isu berkaitan salah urus perlu diteliti secara menyeluruh.

“Masalah Cina? Masalah DAP? Tidak. Masalah Melayu? Tidak. Ini wang haji. Wang orang yang nak pergi haji, kumpul puluh tahun,” katanya ketika ketika berucap pada ceramah Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan DUN Labu di sini, malam tadi.

Menurut Anwar, beliau dimaklumkan mengenai isu berkaitan Tabung Haji melalui taklimat yang diberikan oleh pihak berkaitan, termasuk anggota RCI, Tan Sri Rashid Hussin.

Beliau mendakwa berdasarkan laporan berkenaan, jumlah kerugian yang dikaitkan dengan isu pengurusan Tabung Haji mencecah sekitar RM12 bilion.

“Orang cakap Anwar ini tak habis-habis sakau. Mana ada bukti? Bukti? Nah, baca Suruhanjaya. Dua belas bilion,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan beliau tidak menuduh mana-mana pihak melakukan kesalahan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, keputusan kerajaan adalah untuk mendedahkan laporan RCI berkenaan selain meminta agensi berkaitan menjalankan siasatan.

“Apa saya tuduh? Tidak. Saya kata siapa salah, saya tidak tahu. Biar siasatan ini lakukan,” katanya.

Baca juga:

Mengulas mengenai persoalan mengapa laporan berkenaan tidak didedahkan lebih awal, Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan Tabung Haji yang ketika itu perlu dipulihkan terlebih dahulu.

Menurut beliau, tindakan mendedahkan laporan terlalu awal dikhuatiri memberi kesan terhadap keyakinan pendeposit dan menyebabkan keadaan institusi berkenaan menjadi lebih sukar untuk dipulihkan.

“Kalau keluar awal, tidak sempat kita buat perubahan, orang lari, habis tinggal Tabung Haji. Bankrap Tabung Haji,” katanya.

Related Posts