Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Michael Tong Wai Siong, 55, tidak pernah menjangkakan bahawa dia akan menjadi bapa angkat kepada tiga orang anak lelaki Melayu dan mengalami perubahan besar dalam hidupnya.
Kisah ini bermula kira-kira 16 tahun lalu ketika Tong melawat sebuah rumah anak yatim di Gombak, Selangor. Di situ, dia ternampak seorang budak lelaki, Rafie Ahmad Fauzi, duduk bersendirian dan mengelak daripada berinteraksi dengan orang lain.
Temui nota kecil
“Seorang pengasuh bernama Umi memberitahu, Rafie tak mahu pergi ke sekolah,” katanya.
Setelah diselidik, Tong menyedari Rafie menghadapi kesulitan dalam pembelajaran. Disebabkan itu, dia mengambil inisiatif untuk mendaftarkan Rafie ke pusat tuisyen. Rafie mula menunjukkan peningkatan dan minat dalam pembelajaran.
Suatu hari ketika melawat rumah anak yatim, Tong menemui sehelai nota yang ditulis oleh Rafie. Nota itu tertera luahan hati Rafie mengapa dia kehilangan ibu bapanya pada usia yang begitu muda dan mengapa dia dipisahkan daripada dua adik lelakinya.
“Nota itu membuatkan hati saya berasa sedih. Umi cadangkan agar saya mengambil Rafie sebagai anak angkat dan tinggal bersama, kerana Rafie hanya mendengar kata-kata saya. Jadi saya pun bersetuju,” katanya.
Setelah menemukan Rafie, 26, bersama dua abangnya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, Tong mengambil keputusan untuk membawa mereka tinggal bersamanya di Bandar Sri Damansara.
Minta tunjuk ajar rakan beragama Islam
“Ibu saya bimbang, mengapa anak keduanya yang belum berkahwin dan memutuskan untuk mengambil anak-anak ini? Walaupun ibu beri sokongan, tetapi dia juga mengingatkan bahawa ini semua bukannya mudah. Tetapi dia berjanji akan sentiasa bersama dengan saya,” kata Tong.
Menurut Tong, anak-anaknya sangat menghormati orang tua. Kehadiran mereka dalam keluarga Tong juga tidak menimbulkan rasa janggal. Malah mereka memanggil ibu Tong sebagai “popo” (nenek).
Untuk memastikan anak-anak terus menerima pendidikan Islam, Tong sentiasa mendapatkan nasihat daripada rakan-rakannya beragama Islam.
“Semasa Ramadan, saya berpuasa bersama mereka. Ketika mereka masih kecil, bangun untuk sahur adalah sesuatu yang sukar. Saya ingat bagaimana saya menyiram air pada mereka untuk membangunkan mereka,” katanya.
Pada Hari Raya, Tong juga membawa anak-anaknya ke rumah rakan Melayu-Muslim di Selayang, di mana mereka bersembahyang bersama.
“Kami juga merayakan Tahun Baru Cina bersama. Setiap tahun semasa jamuan perjumpaan keluarga, anak-anak saya turut menyertai kami,” katanya.
Tiga beradik anugerah Tuhan
Walaupun membesarkan anak-anak ini seorang diri dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, Tong tidak pernah terfikir untuk menggantikan bapa biologikal anak-anak angkatnya itu.
“Saya bukan Ahmad Fauzi; saya masih ‘Pakcik Mike’. Saya melakukannya dengan ikhlas untuk memastikan anak-anak ini membesar dan menjadi insan yang berguna kepada masyarakat,” tambahnya.
Biarpun masih belum menjumpai pasangan hidup, Tong berkata ‘tiga beradik’ itu adalah anugerah Tuhan dan tidak pernah terbit rasa menyesal mengambil mereka sebagai anak angkat.
“Rafie kini sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Saya kini seorang datuk dan tidak akan pernah merasa kesepian.
“Kesemua mereka sudah ada kehidupan dan perniagaan mereka sendiri. Saya sangat bangga dengan mereka,” katanya.
Sumber: The Star