'Saya tak mahu menjawab di akhirat nanti' - Pemandu lori nekad berhenti terima bantuan asnaf | The Reporter

‘Saya tak mahu menjawab di akhirat nanti’ – Pemandu lori nekad berhenti terima bantuan asnaf

Sumber foto: Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pemandu lori, Zaidtulakmar Norjali, 49, telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan namanya daripada senarai penerima bantuan asnaf selepas enam tahun menerima bantuan tersebut.

Enam tahun yang lalu, Zaidtulakmar dan anaknya pernah melalui kesusahan di mana mereka pernah berkongsi sepinggan nasi yang berlaukkan perencah mi segera.

Masalah tulang belakang

Keadaan ini berlaku kerana Zaidtulakmar terpaksa berhenti kerja akibat masalah tulang belakang yang menyebabkan dia hilang sumber pendapatan. Ketika itu, hanya anak bongsunya yang berusia 14 tahun, yang masih di bawah tanggungannya. Isterinya pula telah meninggal dunia pada awal tahun 2018.

Namun, mereka bernasib baik apabila kesusahan mereka diketahui oleh Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) dan Baitulmal yang kemudian memberi bantuan bulanan RM250 serta barang keperluan.

Kesihatannya bertambah baik dan dia kini bekerja sebagai pemandu lori. Tetapi ada dia terpaksa berhenti beberapa kali disebabkan sakit tulang belakang datang menyerang kembali.

Tak mahu menjawab ‘di sana’

Mac lalu, Zaidtulakmar nekad mengambil keputusan untuk keluar dari senarai nama penerima bantuan asnaf kerana yakin mampu menyara diri dan anak bongsunya yang kini sudah bekerja.

“Saya tidak mahu menjawab ‘di sana’ (akhirat) nanti. Saya sudah mampu, namun masih menerima bantuan sedangkan masih ada yang betul-betul layak untuk mengisi tempat saya,” katanya.

Sementara itu, Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed, menyambut baik keputusan Zaidtulakmar yang boleh dijadikan contoh dan inspirasi bagi asnaf lain untuk berusaha memajukan diri.

Sumber: Harian Metro

Related Posts