'Saya tak kata banjir, saya kata musim tengkujuh' - Exco Kelantan perjelas salah faham cadangan pelancongan - The Reporter

‘Saya tak kata banjir, saya kata musim tengkujuh’ – Exco Kelantan perjelas salah faham cadangan pelancongan

musim tengkujuh sebagai tarikan pelancongan

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor, tampil memperjelaskan kenyataannya yang sebelum ini mengundang perhatian ramai berhubung usaha mempromosikan musim tengkujuh sebagai produk pelancongan negeri itu.

Menurut Kamarudin, beliau tidak pernah menyebut banjir sebagai fokus utama, sebaliknya cadangan tersebut merujuk kepada musim tengkujuh secara keseluruhan.

“Saya tak kata banjir, saya kata musim tengkujuh,” tegasnya, menepis salah faham yang timbul.

Beliau turut menjelaskan banjir tidak semestinya berlaku pada setiap musim tengkujuh, malah terdapat tahun-tahun tertentu di mana keadaan tenang tanpa sebarang bencana. Bagaimanapun, musim Monsun Timur Laut (MTL) sering menyaksikan penurunan ketara dalam kehadiran pelancong, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi penduduk setempat.

“Saya rasa wajar mencari jalan bagaimana pengunjung dan pelancong tetap terus datang walaupun musim hujan demi kelangsungan hidup sesetengah pengusaha yang bergantung kepada jumlah pelanggan,” katanya.

Antara cadangan yang diketengahkan termasuk penganjuran pesta makanan musim tengkujuh yang memfokuskan masakan menggunakan ikan darat, ubi dan pelbagai jenis beras.

“Pesta ini boleh menjadi peluang untuk memperkenalkan warisan kulinari Kelantan,” jelasnya lagi.

Selain itu, aktiviti luncur air turut dicadangkan sebagai daya tarikan baharu. Menurut Kamarudin, idea ini datang daripada satu persatuan luncur air di Kuala Lumpur yang berminat memperkenalkan sukan itu di Pantai Kemasin.

“Luncur air memerlukan ombak lebih besar yang hanya berlaku dalam musim tengkujuh ini,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan beliau sebelum ini mencetuskan kontroversi dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ada yang menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan dan kesesuaian mempromosikan aktiviti pada musim tengkujuh.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!