'Saya tak boleh berada dalam penjara, boleh jadi mental, tekanan' - Miza Ozawa rayu hukuman ringan | The Reporter

‘Saya tak boleh berada dalam penjara, boleh jadi mental, tekanan’ – Miza Ozawa rayu hukuman ringan

Foto: Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap peniaga ubat kuat yang dikenali sebagai ‘Miza Ozawa’.

Miza Ozawa atau nama sebenarnya, Siti Amiza Baharuddin, 27, mengaku bersalah di atas pertuduhan mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah unit kondominium di Bukit Mahkota, Selangor, pada 6 Jun lalu.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Hakim Shahrul Rizal Majid menasihati tertuduh supaya tidak mengikut perasaan dan nafsu serta menjadikan kes ini sebagai pengajaran.

“Balik Pulau Pinang. Dekat Kuala Lumpur tiada saudara mara, kan? Kawan tidak boleh pakai. Duduk dengan keluarga kalau betul hendak menjaga anak.

“Jangan ikut perasaan dan nafsu. Selepas ini balik kampung dan jaga anak,” katanya.

Dalam pada itu, Miza juga merayu agar mahkamah hanya mengenakan hukuman ringan atas alasan dirinya mengandung. Malah, dia insaf dengan kesalahan yang dilakukannya itu.

“Saya mengandung dan insaf perlakuan lama saya, dan mohon dikenakan hukuman denda, bukan penjara.

“Saya berjanji tidak akan melakukan kesalahan terkutuk ini lagi dan mahu memulakan hidup baru. Saya mahu menjaga anak ini selepas keguguran anak pertama. Saya tidak boleh berada dalam penjara, boleh jadi mental dan tekanan,” katanya dengan suara yang sebak.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar memohon hukuman penjara dengan mengambil kira kes kepentingan awam dan kesalahan yang dilakukan membabitkan aktiviti persundalan, sekali gus meningkatkan penularan penyakit kelamin.

Sumber: Harian Metro

Related Posts