Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Istilah poligami agak sensitif bagi kebanyakan wanita. Tetapi bagi wanita ini dia menganggap poligami atau madu itu sebagai hadiah.
Nur Akmal Hassan seikhlas hati menerima kehadiran madunya tanpa rasa sangsi.
“Saya seikhlas hati menerima kehadiran madu tanpa rasa sangsi, Insya-Allah…Allah SWT sudah aturkan yang terbaik untuk kami dan semua yang berlaku juga adalah dengan izin-Nya,” katanya
Wanita ini menjadi tular selepas berkongsi video gambar perkahwinan suami, Mohd Zahzee Shah Zakaria dengan isteri kedua, Noorfaizura Ujang, di TikTok yang mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos tahun lalu.
“Saya berterima kasih dengan sokongan netizen dan semua doa yang baik-baik untuk mereka juga, malah dalam masa sama saya mahu menunjukkan poligami bukan sesuatu yang buruk sekiranya ia dilakukan dengan cara yang betul,” katanya.
Dapatkan zuriat
Katanya, alasan utama dia rela berbuat demikian adalah kerana dia mahu suami mendapat zuriat sendiri selepas percubaan mereka mendapatkan cahaya mata tidak berhasil sepanjang 12 tahun berkahwin.
Menurutnya, dia menerima kehadiran madu dengan ikhlas dan menganggap wanita itu sebagai rakan baik serta mengakui mereka kini masih saling mengenali hati budi.
“Dalam hidup berkongsi kami sentiasa tahu hak, privasi dan tanggungjawab masing-masing selain saling menghormati. Kita mesti faham semua datang daripada Allah SWT, Dia sudah tentukan yang terbaik untuk kita.
Madu adalah hadiah
“Saya anggap madu adalah hadiah buat saya dan dia seorang yang baik, malah ketiga-tiga keluarga juga saling mengenali dan baik. Apabila suami setuju dengan cadangan saya berkahwin lain, madu datang bertemu saya untuk kepastian.
“Saya juga meminang madu untuk suami dan membantu menguruskan urusan poligami di mahkamah serta majlis mereka. Kekuatan itu datang daripada Allah jadi saya yakin ia adalah aturan terbaik untuk kami.
Sumber: Harian Metro