Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Ibu kepada Allahyarham Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, reda dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), namun mengakui kemaafan yang diberi tidak mampu mengubah hakikat bahawa anaknya telah tiada.
Hawa Osman, 62, yang hadir bersama suaminya, Zulkarnain Idros, 61, berkata keluarganya tidak berdendam, malah sedia memaafkan tertuduh jika mereka meminta maaf. Namun, kehilangan Zulfarhan adalah sesuatu yang tidak akan dapat digantikan.
“Keluarga mereka datang minta maaf, kami terima, tapi arwah tetap takkan kembali. Saya maafkan 90 peratus, tapi 10 peratus lagi hanya Allah yang tahu kerana kami tahu arwah tak salah,” katanya selepas prosiding di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam.
Meskipun berat untuk menerima keputusan, Hawa menghormati sistem kehakiman dan percaya ada hikmah di sebaliknya. Dia juga menegaskan bahawa jika tertuduh ingin bertemu keluarganya selepas menjalani hukuman, mereka harus terlebih dahulu memohon maaf kepada arwah Zulfarhan.
Sementara itu, Zulkarnain berpendapat pertemuan selepas pembebasan mungkin bukan idea yang baik kerana bimbang perasaan lama kembali mengganggu ketenangan keluarga mereka.
“Luka lama sudah sembuh, tapi parut tetap ada. Lebih baik mereka tidak datang, biarlah semua pihak mencari ketenangan masing-masing,” katanya.
Sumber: Harian Metro