Sebuah syarikat di China mencetuskan kontroversi selepas mewajibkan pekerja bujang dan bercerai berkahwin sebelum akhir September atau berdepan dengan pemecatan. Bagaimanapun, dasar yang diperkenalkan oleh Shuntian Chemical Group di wilayah Shandong, dikritik hebat kerana dianggap melanggar hak pekerja dan mencampuri urusan peribadi mereka.
Dasar pelik: Wajib kahwin atau kehilangan kerja
Dasar syarikat itu menyasarkan pekerja berusia 28 hingga 58 tahun yang masih belum berkahwin atau telah bercerai. Mereka diberikan tempoh sehingga akhir September tahun ini untuk berkahwin atau bakal kehilangan pekerjaan.
Pekerja yang masih bujang sebelum akhir Mac diwajibkan menulis surat tunjuk sebab mengapa mereka masih belum berkahwin. Jika mereka tidak berkahwin menjelang akhir Jun, syarikat akan membuat ‘penilaian’ terhadap mereka, dan jika masih bujang selepas September, mereka akan dipecat.
Syarikat itu turut mengaitkan dasar ini dengan nilai tradisional China, mendakwa bahawa pekerja yang tidak berkahwin adalah tindakan tidak setia kepada negara, ibu bapa, dan rakan sekerja.
Dibatalkan selepas dikecam dan disiasat pihak berkuasa
Tindakan syarikat ini mengundang kecaman meluas, termasuk dalam kalangan pihak berkuasa. Biro Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial tempatan segera menjalankan siasatan pada 13 Februari lalu. Kurang sehari selepas disiasat, syarikat itu mengumumkan pembatalan dasar tersebut dan menegaskan bahawa tiada pekerja yang dipecat kerana status perkahwinan mereka.
Menurut profesor undang-undang dari Universiti Peking, Yan Tian, dasar syarikat ini bukan sahaja melanggar undang-undang buruh China, tetapi juga bercanggah dengan hak kebebasan perkahwinan yang dijamin dalam perlembagaan negara itu.
Reaksi netizen dan isu kejatuhan kadar perkahwinan di China
Dasar pelik ini mendapat pelbagai reaksi di media sosial. Ramai yang mengecam syarikat itu kerana cuba mengawal kehidupan peribadi pekerja, dan ada yang berpendapat pekerja yang dipecat boleh mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut pampasan.
Kejadian ini juga mencerminkan kebimbangan terhadap penurunan kadar perkahwinan di China. Statistik menunjukkan hanya 6.1 juta perkahwinan direkodkan tahun lalu, turun 20.5% berbanding tahun sebelumnya. Walaupun kadar kelahiran meningkat buat pertama kali sejak 2017 kepada 9.54 juta bayi, pakar percaya ia disebabkan ramai ibu bapa memilih untuk melahirkan anak dalam Tahun Naga, yang dianggap bertuah.
Kerajaan China kini berusaha menggalakkan lebih ramai rakyatnya berkahwin dan berkeluarga, termasuk melalui insentif wang tunai. Sebagai contoh, di wilayah Shanxi, pasangan yang berkahwin buat kali pertama ditawarkan ganjaran sebanyak 1,500 yuan (RM990).
Sumber: South China Morning Post








