Enam bekas pelajar UPNM dijangka dibebaskan empat tahun lagi | The Reporter

Enam bekas pelajar UPNM dijangka dibebaskan empat tahun lagi

Enam bekas pelajar UPNM dijangka dibebaskan dalam tempoh empat tahun lagi.
Hukuman penjara terhadap enam bekas pelajar UPNM berbaki empat tahun lagi selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan terdahulu.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Persekutuan Purajaya semalam menetapkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh tanpa niat Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain. Dengan tempoh hukuman yang sudah dijalani, mereka dijangka dibebaskan dalam tempoh empat tahun lagi.

Peguam Datuk Seri M. Ramachelvam yang mewakili Muhammad Afif Najmudin Azahat, 29, mengesahkan perkara itu dan menyatakan anak guamnya akan memulakan kehidupan baharu selepas menjalani baki hukuman.

Pegawai polis menunjukkan seterika yang digunakan oleh enam bekas pelajar UPNM untuk mencederakan Zulfarhan

“Ini pengalaman yang sangat menyakitkan buatnya. Ibu bapanya sudah meminta maaf kepada keluarga mangsa atas apa yang berlaku,” katanya selepas prosiding mahkamah.

Menurut Ramachelvam, semua tertuduh sudah insaf dan menyesal dengan perbuatan mereka.

“Apa yang berlaku tidak disengajakan hingga membawa kepada kematian Zulfarhan, jadi beri mereka peluang untuk mulakan hidup semula,” katanya.

Tambahnya, anak guamnya sudah menjalani hukuman penjara lapan tahun sejak ditahan pada 1 Jun 2017. Penjara membenarkan satu pertiga hukuman dikurangkan jika banduan berkelakuan baik, menjadikan baki tempoh hukuman hanya empat tahun lagi.

Lakaran kecederaan pada tubuh Zulfarhan akibat ditekap dengan seterika yang dilakukan oleh enam bekas pelajar UPNM

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, menerima rayuan akhir enam perayu untuk mengetepikan hukuman mati dan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai tahun lalu.

Enam bekas pelajar itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang kini berusia 29 tahun.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili dua daripada perayu menegaskan bahawa dalam kes ini, tiada pihak yang menang atau kalah kerana Zulfarhan telah meninggal dunia, dan anak guamnya pula kehilangan masa depan.

“Mereka ini sudah hilang masa depan dan sudah menjalani hukuman,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Related Posts