Perkongsian seorang pemuda bernama Khairul Johari di Facebook meraih perhatian ramai apabila dia menceritakan hubungan istimewa antara dirinya dengan seekor lembu yang bakal dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Dalam luahan panjang yang dimuat naik bersama gambar lembu berwarna coklat jinak itu, Khairul menggambarkan haiwan tersebut bukan sekadar ternakan, tetapi sahabat yang banyak menemaninya dalam diam.
Menurutnya, lembu itu telah menjadi tempat dia mencari ketenangan, memahami emosi dan belajar untuk reda dengan kehidupan.
“Awak tak pernah berbicara… Tapi awak selalu buat saya rasa difahami,” tulisnya.
Katanya lagi, setiap kali duduk di sisi haiwan itu terutama ketika hidupnya terasa sempit, dia hanya perlu meletakkan tangan di kepala lembu itu dan entah bagaimana dunia terasa perlahan, nafas jadi lebih dalam.
Sahabat yang diam tetapi memahami
Khairul juga berkongsi momen-momen yang membuatkannya lebih rapat dengan lembu tersebut. Setiap kali dia ke kandang, lembu itu yang paling awal datang menghampiri.
Apabila dirinya sakit, haiwan itu akan tunduk lama di lututnya seolah-olah memahami. Bahkan ketika dia menangis dalam diam sambil menyuap makanan, lembu itu hanya memandangnya seakan tahu perpisahan mereka semakin hampir.
Katanya, kasih sayangnya terhadap lembu itu bukan semata kerana rupa, saiz atau jinaknya tetapi kerana kehadiran lembu itu mengajarnya erti redha iaitu tentang menerima dan melepaskan.
“Saya tahu awak tak faham apa itu pengorbanan,” tulisnya lagi. “Tapi bila awak rebah nanti, saya percaya… awak akan bawa cinta saya kepada Tuhan, dalam bentuk darah dan takbir.”
Bukan sekadar korban
Menjelang Aidiladha, Khairul mengakui hatinya berat. Namun dia redha kerana tahu maksud sebenar ibadah korban.
Dia melihat pengorbanan itu bukan sekadar upacara, tetapi satu bentuk cinta paling dalam dengan memilih untuk melepaskan bukan memiliki.
“Dan saya lepaskan awak… bukan sebab saya tak sayang. Saya lepaskan awak sebab awak terlalu saya sayang,” luahnya dengan jujur.
Di akhir tulisannya, Khairul menitip harapan yang menyentuh hati ramai, agar lembu yang dikasihinya itu akan menjadi saksi di akhirat kelak.
Dia membayangkan apabila amalannya mungkin tidak cukup untuk membawanya ke syurga, sahabat diamnya itu akan datang dari arah kanan dan berkata, “dia pernah lepaskan saya demi Tuhan… dan saya datang hari ini untuk bantu dia melintas ke syurga.”
Sumber : Facebook Khairul Johari








