Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Susulan pelanggaran antara pelumba basikal trek Jepun Shinji Nakano dan pelumba negara Shah Firdaus, netizen Malaysia dilihat mula menyerang akaun media sosial pelumba dari Jepun itu.
Satu akaun TikTok yang didakwa milik pelumba dari Jepun dikatakan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, Shah menafikan dakwaan tersebut. Katanya, Shinji Nakano ada menghantar mesej kepadanya dan memaklumkan telah diserang oleh ‘tentera bawang’ Malaysia.
“Saya ingat orang Malaysia baik-baik belaka,” tulis pesanan mesej Shinji kepada Shah Firdaus.
Kata Shah, dia tidak mengetahui perkara itu sehinggalah dia membuka media social.
“Malam semalam (kelmarin) dia mesej saya, kata dia kena serang (di akaun media sosialnya)… saya pun tak tahu, apabila saya tengok, sudah berpuluh ribu komen.
“Saya harap netizen berhenti sebab perkara itu menjejaskan kami juga. Perkara itu memang berlaku (perlanggaran), ada ‘body contact’ dan itu biasa dalam keirin dan sebenarnya dia tak berniat nak ‘hentam’ saya, itu sebab ‘G-force’.
“Bila ada ‘body contact’, ‘G-force’ itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja,” katanya.
Akaun TikTok palsu
Tindakan segelintir netizen itu dianggap Shah sebagai sesuatu yang memalukan kerana dia dah Nakano adalah bersahabat. Shah juga menyatakan permohonan maaf dari akaun TikTok Shinji Nakano adalah palsu.
“Itu bukan TikTok dia (Nakano), dia cakap perkara itu dengan saya. Kami jumpa selepas perlumbaan… (akaun) TikTok itu, biasalah orang buat cerita. Tapi saya dengan dia OK sahaja, saya dengan dia tak ada masalah.
“Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah.
“Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik, saya macam malunya,” kata Shah Firdaus.
Sumber: Berita Harian








