Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Sesyen Johor Bahru mengenakan hukuman denda RM3,000 ke atas seorang peniaga gerai makanan atas dakwaan menerbitkan penerbitan menghasut di aplikasi X yang menghina Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu.
Berdasarkan fakta kes, hantaran berkenaan telah dilihat oleh seorang pengadu di aplikasi berkenaan pada 29 Disember lalu. Pengadu percaya, hantaran berkenaan berbaur hasutan dan menyentuh kesalahan 3R.
Susulan itu, pengadu telah membuat laporan polis Balai Polis Seri Alam. Siasatan mendapati, akaun X berkenaan adalah milik tertuduh.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh memohon dikenakan hukuman ringan memandangkan dia hanya bekerja sebagai peniaga tepi jalan dan menanggung keluarga termasuk ibu dan anak yang disahkan autism.
“Saya mengaku salah dan terkhilaf selain tidak sedar kesalahan dilakukan ini menyentuh 3R.
“Hantaran itu bukanlah ayat karangan sendiri kerana saya hanya ‘repost’ selepas ‘copy paste’ ayat berkenaan. Saya tidak sedar kesan tindakan itu,” katanya.
Pengarah Pendakwaan Negeri Johor bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda.
Sumber: Berita Harian








