Datuk Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek elit Malaysia, telah mengeluarkan kenyataan berhubung insiden yang menyebabkan pembatalan penyertaannya dalam acara Keirin di Olimpik Paris 2024.
Menurut beliau, insiden tersebut berlaku akibat beberapa faktor teknikal dan taktik perlumbaan yang tidak memihak kepadanya.
Faktor posisi dan taktik perlumbaan
Azizulhasni menjelaskan beliau mendapat posisi terakhir dalam undian, yang memerlukan strategi khusus untuk bersaing. Bersama jurulatihnya, John Beasley, mereka merancang untuk bergerak ke hadapan seawal mungkin bagi mengelakkan situasi sukar.
“Ketika undian dibuat, saya mendapat posisi terakhir iaitu enam. Saya kekal tenang dan untuk berlumba dengan posisi tersebut ada perancangannya,” kata Azizulhasni.
Insiden himpitan
Ketika perlumbaan, Azizulhasni dihimpit secara agresif oleh pelumba Perancis yang hampir menyebabkan beliau terjatuh.
“Saya dihalang dengan himpitan dari pelumba Perancis. Himpitan itu terlalu agresif dan bagi saya ianya adalah secara sengaja kerana melanggar saya,” jelasnya.
Kelajuan pacer
Selain itu, kelajuan pacer yang lebih perlahan daripada biasa turut menyumbang kepada situasi yang tidak menguntungkan.
Pacer memainkan peranan penting dalam mengawal kelajuan awal pelumba sebelum mereka dilepaskan untuk bersaing sepenuhnya. Kebiasaannya, pacer akan memecut keluar selepas selekoh keempat pada kelajuan sekitar 50-55 km/j.
Namun, dalam perlumbaan tersebut, pacer bergerak lebih perlahan daripada kelajuan sebenar, iaitu sekitar 40-45 km/j, dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan.
“Pacer bergerak lebih perlahan berbanding kelajuan sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat,” tambahnya.
Keputusan panel komisar
Walaupun jurulatih dan pasukan telah berusaha untuk mengemukakan rayuan dan bukti video, panel komisar tetap dengan keputusan mereka untuk membatalkan penyertaan Azizulhasni.
“Jurulatih John Beasley dan Pengurus Pasukan Izham Mohammad terus berjumpa dengan pihak panel komisar sejurus kejadian dan menjelaskan keadaan serta memohon untuk mereka review kembali video perlumbaan dan keputusan. Namun mereka memilih untuk kekal dengan keputusan yang sama,” katanya.
Azizulhasni reda dengan apa yang berlaku dan kini menyeru agar semua pihak memberikan sokongan penuh kepada Shah Firdaus, rakan sepasukannya, yang kini menjadi harapan baru untuk membawa pulang pingat emas untuk Malaysia.
“Saya percaya Shah Firdaus mampu melakukannya,” ujarnya.