'Saya dah tak dapat dengar gelak tawa umi lagi' | The Reporter

‘Saya dah tak dapat dengar gelak tawa umi lagi’

gelak tawa umi

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang penghantar makanan, Abdul Azim Hasmandi, 28, menjadi perhatian ramai selepas gambarnya tidur bersebelahan pusara ibunya tular di TikTok. Dia mengakui tidak mengetahui tentang gambar tular tersebut sehingga diberitahu oleh rakan sekerja.

Abdul Azim berkata, ibunya, Norlia Mahmood, 62, meninggal dunia akibat kemalangan motosikal pada Jun lalu, dan kehilangannya masih meninggalkan kesan mendalam sehingga kini.

Difahamkan, Norlia terlibat dalam kemalangan ketika cuba mengelak seorang pejalan kaki, semasa pulang membeli barang untuk berniaga nasi lemak di Bandar Baru Bangi.

“Saya selalu ke kubur untuk melepaskan rindu kepada umi. Selain membaca Yasin dan Al-Fatihah, saya luangkan masa membersihkan pusara dan berbual dengannya. Ia membuatkan saya rasa lebih dekat walaupun kami berada di alam berbeza,” katanya.

Terdahulu, gambar yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, Su Ahmad, mendapat lebih empat juta tontonan dengan pelbagai reaksi sayu daripada warganet.

Abdul Azim mengakui ahli keluarganya terkejut, malah ada yang marah apabila mengetahui dia sering berehat di pusara ibunya, namun baginya setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi kesedihan.

“Ini cara saya untuk mengatasi rasa kehilangan. Walaupun tidak dapat lagi melihat wajah, mendengar suara, atau gelak tawa umi, saya reda dengan apa yang berlaku,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts