Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebanyak 1,009,114 pelancong dari India berjaya direkodkan melawat Malaysia antara Januari hingga November 2024, melepasi sasaran sejuta pelancong.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata jumlah itu mencatat peningkatan 47 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 sebelum pandemik dan 71.7 peratus berbanding 2023.
Menurut beliau, pengenalan visa kemasukan percuma pada Disember 2023 menjadi faktor utama peningkatan ketibaan pelancong dari India.
“Peningkatan kesalinghubungan turut menyumbang, termasuk penerbangan terus baharu ke Pulau Pinang dan Langkawi oleh Indigo Airlines mulai Disember 2024,” katanya.
Beliau turut memuji kejayaan promosi Tourism Malaysia di India yang mengetengahkan kekayaan warisan serta tarikan bertaraf dunia, termasuk pengiktirafan Malaysia sebagai Destinasi MICE Terbaik 2024.
Malaysia kini mempunyai 246 penerbangan terus dari India, yang menjadi langkah penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sumber: Bernama








